Buku kecil edisi terhad Kumpulan Cerpen 40 hasil nukilan sepenuhnya saudara Arif Zulkifli ini dilancarkan secara rasminya pada Pesta Buku Antarabangsa 2014 di PWTC tempoh hari, di mana atas sebab-sebab peribadi, aku tidak dapat hadiri. Walaubagaimana pun, aku amat berterima kasihkepada penulisnya kerana menyimpankan satu naskhahkomplementer buat aku yang terlepas peluang untuk membelinya kerana kalau tidak salah, masuk sahaja hari keempat PBAKL14, buku tersebut telah pun selesai habis terjual. Aku agak berbangga kerana pernah dua kali berkongsi antologi cerpen Fixi (BOLA dan juga KLCC), makanya secara tidak langsung sedikit-sebanyak aku sudah disediakan dengan bentuk penulisan yang dipersembahkan oleh ArifZulkifli ini. Jangan ditanya kenapa kulit buku ini merupakan sepasang rahang gigi manusia kerana aku sendiri tidak tahu (mungkin penulisnya ada maksud yang tersirat?).
Ada 40 cerpen pendek yang termuat dalam antologi cerpen edisi terhad setebal 180 halaman kali ini dan kebanyakannya hanya 3 muka surat dan memang pendek-pendek belaka. Kesemuanya menggunakan 40 tajuk novel-novel Bahasa Malaysia terbitan Fixi yang terdahulu sehinggalah yang terbaharu iaitu AWAN (tulisan Syafiq Aizat, sekuel kepada AJAIB) dan juga SANCTURIA (novel keempat tulisan ShazJohar). Apa-apa pun, usai membaca kesemua cerpen yang terkandung di dalam antologi ini, aku tidak menafikan bahawa penulisnya punya bakat besar dan tidak mustahil suatu hari nanti beliau bakal tampil dengan novel sulungnya pula. Tema utama yang dapat dikesan semestinya elemen sinisismeterhadap masyarakat Malaysia (khususnya orang Melayu).Walaupun penulis berusaha untuk menghasilkan cerpen dalam pelbagai spektrum genre (psychological-thriller: NGERI, post-apocalyptic futurisme: ZOMBIJAYA, dystopian fiction: DOSA, horror/mysticism: ASRAMA, societal criticism: JERAT, dll) apabila membaca Cerpen 40, kau tidak boleh lari daripada menyedari ada semacam suatu kesamaan yang nyata iaitu suntikan keagamaan yang kuat dalam hampir 70 peratus cerpen yang terhimpun.
Disebabkan kebanyakan cerpen yang ditulis pendek-pendek belaka (barangkali kerana harus mematuhi jumlah maksimum ketebalan naskhah tersebut), pada hemat aku satu kelemahan yang amat ketara dalam hampir kesemua cerpen yang ditulis oleh Arif Zulkifli adalah kegagalan setiap satunya untuk mencapai penyudah yang memuaskan, menyebabkan kebanyakan cerita bagaikan menjamah lauk yang tidak cukup masin. Dalam kata lain, rasa puas itu tidak kesampaian. Banyak cerpen yang termuat aku kira punya banyak potensi dan ruang untuk dikembangkan dan dipanjangkan lagi untuk memberi perspektif dan ‘kedalaman’ penceritaan di samping perincian watak/latar yang lebih khusus. Apa-apa pun aku puji penulis kerana berusaha untuk menghasilkan kepelbagaian dalam penulisan beliau. Bukan senang hendak menulis dalam pelbagai genre seperti apa yang telah berjaya dihasilkan oleh Arif Zulkifli ini. Cumanya memandangkan antologi edisi terhad kali ini hanya memuatkan karya-karya dari satu penulis sahaja, kita tidak disajikan dengan variasi teknik penceritaan seperti mana yang terkandung dalam antologi edisi terhad FIxiyang terdahulu. Oleh sebab itu juga, keseragaman fitur bahasa dan aspek naratif yang disajikan dalam Cerpen 40 amat jelas sekali.
Ulasan