363: bagaimana KOYAK bermula.

Entri kali ini mungkin agak terlewat sebenarnya, memandangkan novel keduaku telah pun selamat dilancarkan pada 14 Disember yang lalu di Annexe, Central Market, bersempena dengan acara ArtForGrabs yang terakhir untuk tahun 2013. Apa-apa pun, syukur Alhamdulillah aku telah diberi kesempatan dan peluang kedua oleh Buku Fixi untuk menerbitkan sekuel kepada Bisik, yang diberi nama; Koyak.

Sebenarnya sewaktu aku menyudahkan manuskrip Bisik kira-kira dua tahun yang lalu, aku benar-benar tiada perancangan dan tidak mahu menyambung kisah yang berlaku di dalam Bisik. Ini adalah kerana pada hemat aku, kisah yang telah aku aturkan di dalam Bisik memang aku mahu tamatkan di situ. Namun aku harus berterima-kasih kepada pembaca Bisik yang tidak putus-putus bertanya dan mengusulkan agar kisah Mikael itu harus disambung, dan aku sesungguhnya terhutang budi atas sogokan pembaca semua.

Aku baca semula Bisik berulang-kali, mencari-cari idea bagaimana hendak menyambung kisah Mikael dan watak-watak yang masih ada di penghujung Bisik itu. Ternyata, hendak menyelami dan mendalami semula ke dalam jiwa dan kaca-mata Mikael adalah suatu pengalaman yang amat-amat sukar buatku. Ini adalah kerana bagi aku, untuk aku menyelami dan menjiwai Mikael dan melihat dunia dari kaca matanya itu merupakan suatu pengalaman yang meletihkan dan terkadang agak menakutkan buatku. Cukup-cukuplah dengan insiden beberapa kali aku mulai ‘terdengar’ bisik-bisik aneh di waktu malam ketika sedang rancak menjadi “Mikael” dan menulis Bisik dahulu.

Agak lama juga aku tercari-cari inspirasi untuk Koyak, dan suatu kemujuran yang tidak terduga berlaku ke atasku apabila aku diberi peluang untuk ke UNIMAS atas urusan kerja sekitar awal 2013. Peluang aku menaiki pesawat secara solo buat pertama kali ke Kuching, membantu pensyarahku dalam pembentangan seminarnya dan seterusnya membuat detour aku sendiri ke Labuan untuk bertemu kenalanku di sana merupakan titik-tolak di mana kebanyakan inspirasi untuk mengkonstruk asas kepada plot Koyak mulai terhasil. Aku habiskan kira-kira sepuluh hari di kota Labuan, melawat hampir ke segenap ceruk pulau kecil itu, melihat, merasai dan menikmati dunia luar (bagi aku yang belum berpeluang untuk ke luar negara, selain ke Singapura dan beberapa bandar di Thailand), ilham untuk menulis Koyak datang bertimpa-timpa. Draf asal untuk Koyak mulai terbentuk ketika aku di Labuan, tetapi jujur aku katakan konstruksinya jauh berbeza seperti apa hasil akhir yang telah dibukukan itu.

Mulanya aku hanya mahu menulis dari dua perspektif, iaitu daripada kaca mata Julia dan juga kaca mata Mikael. Sepulangnya aku ke Selangor, ketika aku sedang berada di atas pesawat, meriba 1Q84 tulisan Haruki Murakami, aku seperti mendapat satu lagi eureka moment. Aku mahu mencabar diriku sendiri dan menulis sesuatu yang di luar ruang selesaku, iaitu menulis dari perspektif ramai orang yang akhirnya bertemu di satu titik klimaks. Makanya aku segera memohon pramugari pesawat itu beberapa helai tisu (kerana ketika itu aku masih lagi belum mempunyai iPad dan kebetulan pula buku notaku berada di dalam beg sandang di kompartmen atas kepala, agak leceh untuk aku bangun dan ambil) dan segera menulis secara kasar imej-imej watak yang terlintas di kepalaku. Maka dengan pantas lebih kurang tujuh helai tisu AirAsia putih itu terisi dengan cakar ayam yang merupakan nama-nama watak yang akhirnya dijelmakan di dalam Koyak: Dr. Iesmail, Farizz, Fairudz Hanif, Sarah, Suraya, dan semestinya watak-watak dari Bisik iaitu Mikael, Shah dan Julia. 

Setibanya aku di LCCT aku ke Starbucks untuk memesan segelas Americano sebelum buru-buru menaiki bas yang akan menghubungkan aku ke KL Sentral. Ketika itu sekali lagi aku terinsipirasi. Entah kenapa, arsitektur dalaman LCCT itu sendiri secara tidak langsung membuat aku segera membayangkan InTraMeRC, pusat psikiatri yang bakal menjadi salah-satu latar tempat terpenting dalam Koyak. Bagaikan seorang tourist sesat, aku galak mengambil gambar itu-ini dan apa sahaja yang aku kira dapat membantu aku dalam membayangkan interior dan segala ceruk InTraMeRC itu kelak. Seterusnya, aku pulang ke UKM dan mula membuat draf asas dan merangka-rangka bagaimana hendak mengaitkan kesemua watak-watak yang telah aku coretkan secara kasar di atas kertas tisu itu tadi.

Itu antara hal yang paling sukar. Sekali lagi aku mencabar diriku dalam membina sebuah plot berselirat yang (syukur, rasanya aku berjaya) menghubungkan kesemua watak-watak baru dan lama dengan seimbang dan baik sekali. Seterusnya, aku menemui beberapa jalan buntu, aku tidak tahu banyak hal dalam bidang psikiatri mahupun perubatan. Jadi, aku tebalkan muka dan hantar beberapa e-mel kepada rakan-rakanku yang sama ada sedang mengusahakan ijazah perubatan atau sememangnya seorang pengamal ilmu perubatan. Alhamdulillah, salah seorang kenalanku (yang enggan dirinya dikenali orang) sudi membantu aku. Berkali-kali juga membuat janji-temu bersama beliau, baik di luar waktu kerjanya (kami akan bertemu di McDonald’s) atau aku sendiri ke tempat kerjanya dan menunggu sehingga dia selesai dengan kerjanya dan melepak di kamarnya; berbual dan berbincang tentang perihal perubatan, psikiatri dan hal-hal yang berkait. Segala-galanya aku catatkan dalam buku notaku dan akhirnya aku abadikan sebahagian besar perincian dan informasi yang aku perolehi itu dalam watak Dr. Iesmail. Terima kasih wahai sahabat, jasamu amat-amat aku hargai dan akan aku kenang sampai bila-bila.

Separuh jalan menulis Koyak, aku mula merasakan bahawa manuskrip ini entah kenapa hilang kick-nya dan momentum dan drive untuk aku terus menulis mulai menyusut. Mujurlah seorang lagi kenalanku, Syafiq Azwan hadir tepat pada masanya. Atas gesaan dan usulan demi usulan yang dia ujarkan, lewat cicipan kopi dan roti bakar akhirnya aku punya semangat untuk segera siapkan manuskrip Koyak. Lewat Ogos barulah draf pertama Koyak siap sepenuhnya, suatu durasi yang bagi aku amat lama memandangkan aku mendapat idea dan siap menulis Bisik dahulu dalam tempoh hanya 6 minggu sahaja. Aku peram manuskrip itu di dalam thumbdrive selama sekitar dua minggu dan menyibukkan diri membuat hal lain sebelum kembali membelek dan membetulkan apa yang patut. Akhirnya, setelah aku berpuas hati barulah aku hantar ke Fixi. Syukur, ia diterima dan lajukan ke Disember ia siap dicetak untuk dijual dan dimiliki oleh semua, khususnya mereka yang menantikan sambungan Bisik.

Sesungguhnya aku tidak boleh secukupnya mahu ucapkan terima kasih buat pembaca dan peminat tulisanku yang tidak henti-henti menggesa dan meminta agar Bisik lekas-lekas disambung. Kalau bukan atas kalian semua, rasanya kini aku masih lagi terkial-kial menulis entah apa. Nah, terimalah hasil kerjaku yang terbaru, KOYAK, aku dedikasikan khas buat mereka yang sabar menanti sambungan Bisik dahulu. Terima kasih aku ucapkan sekali lagi. Oh, peringatan awal buat mereka yang masih belum mendapatkan Koyak, jangan terkejut bila mendapati ‘bab 2’ naskhah itu tiada. Terus tenang dan bacalah Koyak hingga selesai, anda pasti akan menemui sesuatu yang tidak terjangka.

=)

Ulasan

Ren berkata…
Syahbas saudara. Koyak satu hasil yang bagus dan kejam.
shandye. berkata…
Terima kasih! Harap sy terus terinspirasi untuk menulis sambingan kepada Koyak pula. Hehehehe....
Unknown berkata…
nacam best jer..
kena beli ka buku ni? mana nak belierk? Koyak otak aku baca sikit hehehehe
shandye. berkata…
haha... klu nak start baca kena baca BISIK dulu baru leh baca KOYAK, takut nnt lost tak faham sangat plot cerita. =)