Fixi sekali lagi berani mati menampilkan kisah bergenre berbeza dari novel-novelnya yang terdahulu. Kisah rompakan bank, perempuan lanjut usia licik, lelaki bawah umur yang keliru, perempuan berisi, perempuan pakar komputer yang hilang ingatan, tiga pelajar universiti yang psiko, lelaki kasanova dengan hutang lumayan, kisah cinta berona kelabu, serangan mayat hidup, dendam kesumat seorang hartawan, lelaki yang berhalusinasi. Dan kini kisah saifai serangan makhluk asing dengan berlatarkan tempatan.
Rasa-rasanya Raja Faisal harus belanja aku makan selepas ini gara-gara telah terpromosi novelnya secara tidak sengaja di tempat aku praktikal. Mana tidaknya, saban ada waktu senggang pasti aku akan isi dengan membaca INVASI. Sekaligus, kulitnya itu menjadi daya penarik untuk beberapa orang pelajar yang nampak lantas menegur aku untuk mengetahui apalah agaknya INVASI ini. Dan aku telah menjadi agen tukang beli kepada mereka kerana di toko-toko buku di Melaka masih lagi belum menjual INVASI dan BISIK.
Hari ini Bayani mengerti bahawa takdirnya selama ini, sememangnya, untuk menjadi seorang penyelamat umat manusia dan pembela nasib segenap bangsa. Hari ini Ahmad Bayani Abdullah menjadi seorang hero.
- prolog, halaman 9
INVASI secara amnya mengisahkan tentang bagaimana jika suatu hari Kuala Lumpur (dan seluruh Malaysia secara amnya) ditakluki makhluk asing yang mempunyai objektif tersendiri. Ahmad Bayani, seorang jurutera yang aku kira berusia dalam lingkungan late twenty atau early thirty terperangkap dalam tengah-tengah kekalutan serangan makhluk asing tersebut. Makanya dia punya dua pilihan; lari menyelamatkan diri atau tentangi makhluk asing yang dipanggil Penceroboh ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.
Dan dia memilih untuk menjadi seorang hero.
Aku cuma ada beberapa hal yang kurang senang terhadap novel INVASI. Pertama, novel ini seperti anticlimactic sebaik sahaja memasuk bab 11. Aku enggan ulas dengan lebih lanjut kerana mahu ulasan ini bebas daripada spoiler. Namun begitu, walaupun mungkin ramai yang akan beranggapan penyudah INVASI ini agak klise dan predictable, aku tetap suka kerana wujudnya sedikit plot-twist pada penghujung cerita ini.
Kedua, terkadang aku rasa watak Ahmad Bayani ini berani tidak bertempat sehingga ada beberapa ketika dia kelihatan seperti inhuman. Secara logiknya, seseorang manusia pasti sekali secara lumrahnya akan berasa gentar/takut walau sekelumitpun. Tetapi dalam hal Ahmad Bayani, sukar untuk aku cari satu babak di mana dia berasa takut dan menurut sahaja kepada rasa takut tersebut. Sifat absolute heroism yang ada pada Ahmad Bayani ini kadang-kadang terasa seperti melampau dan tidak realistic kerana sebaliknya, Bayani dengan penuh rasa amarah (dan patriotism, mungkin?) capai senjata dan meluru ke arah Penceroboh untuk menyerang mereka.
Dan ini masuk ke poin ketiga iaitu ada salah seorang pelajar aku bertanya, bagaimana seorang jurutera seperti Ahmad Bayani ini secara hampir automatiknya mahir menggunakan senjata api dan formasi-formasi serang hendap dan sebagainya? Apakah watak tersebut rajin ‘berlatih’ lewat permainan Counter Strike atau apakah dia itu lepasan PLKN?
Namun begitu, INVASI punya banyak kelebihan dan kekuatan yang amat aku puji. Pertama, penulis ternyata membuat kajian yang mendalam tentang senjata dan juga latar tempat yang digunakan. Banyak informasi terutama sekali nama-nama senjata api dan cara-cara menggunakannya dinyatakan (walaupun tidak secara terperinci) di dalam novel ini. Nama lokasi yang digunakan juga adalah berdasarkan lokasi sebenar sekaligus berjaya menimbulkan ambiens realism dalam suasana genting. Ada beberapa ketika aku sendiri berasa sesak nafas kerana membayangkan berada di dalam runtuhan KL Sentral. Sudahlah aku seringkali ke situ, makanya untuk membayangkan yang hub transportasi awam itu ranap pasca peperangan ternyata amat mudah dan menakutkan pada masa yang sama. Raja Faisal bijak mengadun emosi terjerat dalam perperangan dengan konflik antara watak-watak yang ada. Amat sukar untuk berhenti membaca INVASI kerana plotnya bergerak dengan pantas dan pembaca terasa seperti mahu segera tahu apa yang berlaku selepas satu-satu hal berlaku.
Kedua, deskripsi tentang bagaimana rupa fizikal makhluk asing yang datang menyerang bumi tidak dijelaskan secara terperinci oleh penulis. Makanya pembaca harus membuat interpretasi dan bayangkan sendiri bagaimana rupa makhluk asing tersebut. Namun aku asyik terbayang akan rupa fizikal makhluk asing seperti dalam filem Alien lakonan Sigourney Weaver. Ngeri dan menakutkan, dengan taring berlapis-lapis lengkap dengan liur menjejeh-jejeh. Koloni Penceroboh ini juga diceritakan mempunyai hierarki dan rupa fizikal yang berbeza-beza bergantung kepada tugas dan pangkat mereka. Ternyata, banyak masa telah diluangkan oleh penulis untuk menghidupkan kaum Penceroboh ini.
Ketiga, INVASI berjaya memecah monopoli genre novel tempatan kerana setakat ini aku kira kita masih lagi kekurangan karya-karya bermutu yang berteraskan sains dan teknologi. Ceritanya ringan, dengan teras dan kupasan isu polemik seperti sistem pemerintahan dan pertahanan negara disentuh (walaupun secara sepintas lalu) namun berjaya membuat pembaca berfikir apakah yang bakal tampuk pemerintah lakukan kalau (minta dijauhkan) suatu hari negara kita ini mengalami Hari Invasi.
Ya, INVASI dengan mudah berjaya mendapat tempat di hari pembaca muda, khususnya pelajar sekolah menengah kerana menampilkan genre saifai yang sememangnya (mungkin) agak dekat di hati mereka. Dengan laras bahasa yang mudah difahami dan jalan cerita yang menarik, INVASI memang novel yang unputdownable.
Ulasan
Aku nak baca review ko, dia pi hinggap pulak kt tgh2 artikel, kang aku mengamuk pecah pulak skrin ipad aku ni