358: [siri ulasan buku] #35 - katarsis karya anastasia aemilia.



KATARSIS ditakrifkan sebagai 

1. kelegaan emosi (perasaan), kelega­an drpd ketegangan dan pergolakan batin;
2. (Ubat) proses pengubatan yg digunakan utk meluahkan perasaan pesakit berhubungan dgn pengalaman buruk yg terpendam dgn mengulangi pengalaman itu melalui pertuturan atau perbuatan. 

merupakan merupakan novel ke-41 terbitan Buku Fixi yang diterjemahkan daripada Bahasa Indonesia ke Bahasa Malaysia. Anastasia Aemilia selaku penulis asalnya dengan judul yang serupa. Terjemahannya pula dilakukan oleh novelis sensasi, Julie Anne yang terkenal dengan novel duet beliau bersama Sham Hashim yang berjudul LICIK.

Aku berpeluang untuk membaca naskah awal Katarsis yang siap diterjemahkan oleh Julie Anne dan apa yang aku boleh simpulkan adalah novel setebal 261 halaman ini berjaya membuat aku sakit kepala dan berasa sedikit mual apabila membaca beberapa bahagian ngeri yang dijelaskan secara agak explicit di dalam novel ini. Melihat kepada kulit novelnya saja sudah cukup untuk membuat pembaca mencetuskan spekulasi tersendiri. Apa perkaitan kotak perkakasan yang berkunci itu dan tangan siapakah yang kelihatan menyelinap di celahan bukaan kotak perkakasan itu?

Novel ini memperkenalkan pembaca kepada Tara Johandi, gadis genit yang membenci namanya sendiri (atas sebab-sebab misterius yang ditempatkan dibawah pengawasan seorang doktor psikiatris bernama Alfons. Plot KATARSIS agak mengelirukan, lebih-lebih lagi apabila sampai ke separuh pembacaan apabila naratif penceritaan berubah kepada Ello, seorang lelaki bertubuh sasa yang muncul dalam hidup Tara. Jadi aku sarankan agar pembaca cuba untuk habiskan pembacaan dalam hanya sekali duduk sahaja. Alah, lagipun novel ini tidaklah setebal mana. Aku sendiri habis baca dalam dua malam sahaja. Apa-apapun, aku harus angkat topi kepada Julie Anne kerana berjaya membuat satu terjemahan yang baik ke atas novel berbahasa Indonesia ini. Laras bahasanya segar dan mudah difahami, masih berbaur lenggok Indonesia, namun tidaklah sesukar membaca SUAMI, novel terjemahan Buku Fixi yang terdahulu.

Anastasia Aemilia berjaya menimbulkan nuansa suspens, kengerian dan kekeliruan dari halaman pertama hinggalah ke klimaks dan peleraian KATARSIS. Sampai sudah pembaca akan bermain teka-teki berkontemplasi mahu jebak apa yang bakal berlaku seterusnya. Penulis nyata bijak bermain dengan kata-kata dalam membentuk watak-watak dalam KATARSIS, menggunakan naratif first person point of view agar mereka tampak believable dan hingga ke pengakhiran ceritanya, pembaca terus akan tertanya-tanya (dan seperti aku, rancak berdiskusi tentang novel ini bersama penterjemahnya, iaitu Julie Anne).

Nyata memo ringkas penerbit Buku Fixi dan juga penterjemahnya kepada aku akan kebarangkalian aku bakal menyukai novel ini adalah kerana faktor ada beberapa hal di dalam novel ini yang mirip dengan novelku yang berjudul BISIK; ada adegan bersama kucing. Enggan aku jelaskan dengan lebih lanjut, kerana aku tidak mahu menghilangkan unsur kejutan bagi sesiapa yang belum mendapatkan dan membaca BISIK dan kepada sesiapa yang berkeinginan untuk mendapatkan novel KATARSIS. Genre psychological thriller yang menjadi tunjang utama kepada KATARSIS cocok benar dengan novel debut penulis berbakat besar ini.

Ada beberapa hal yang dipersembahan dalam KATARSIS sepertinya tidak dijelaskan secara terperinci, bagaikan penulis sengaja membiarkan hal itu tergantung sebegitu sahaja kerana aku kira mungkin ini sedikit-sebanyak membuka ruang untuk beliau menulis sambungan kepada novel ini. Dan, seperti yang aku jelaskan tadi, naratifnya yang berubah-ubah daripada Tara kepada Ello terkadang membuat aku sedikit keliru antara keduanya kerana 'suara' kedua-dua watak ini hampir mirip kalau tidak dibaca dengan teliti. Naratif Ello apabila diperhatikan, kurang maskulin dan terkadang dibaca mirip seperti naratif Tara, menjadikan terkadang aku keliru antara kedua-duanya. Namun aku mengandaikan penulis sengaja menulis KATARSIS sebegitu rupa agar secara bawah sedarnya memperkukuhkan lagi kecelaruan latarbelakang dan latar tempat yang dipersembahkan.

Seperkara lagi, aku kira novel ini agak tipis, ringan dan banyak hal yang tidak dieksplorasi dengan sejelasnya. Sekali lagi, ini mungkin sekali disengajakan oleh penulis sendiri untuk tidak mendedahkan segala-galanya agar beliau punya ruang dan peluang untuk mengembangkan lagi kompleksiti watak Tara dalam sekuel yang berikutnya.

Ya, dengar itu wahai Anastasia Aemilia; KATARSIS wajar disambung lagi! Hehehehe...

Apa-apapun, penyudahnya aku kira benar-benar suatu hal yang tidak diduga, dan menimbulkan lebih banyak tanda-tanya di hati pembaca. KATARSIS wajar dibaca bagi penggemar psycho-thriller yang santai namun memerlukan daya imaginasi yang agak tinggi. Satu lagi novel wajib dimiliki oleh peminat Buku Fixi.

Ulasan