Khamis, 31 Disember 2015

405: 15 buku terbaik untuk 2015.

Anda berjaya mengharungi 2015 dengan jayanya.

Tahniah!


Oh, tibalah masanya untuk aku mengulangi rencana yang pernah aku tulis pada awal 2015 yang lalu, iaitu menyenaraikan 14 buku terbaik yang saya baca sepanjang 2014.

Maka rasanya lebih molek kalau menyenaraikan 15 buah buku terbaik dibaca sepanjang 2015.

Anyway, senarai ini not in any particular order, dan tidak semua diterbitkan pada tahun 2015. Its just that aku cuma dapat membacanya pada tahun ini. Orait?

Yay.


1. Ayah - Andrea Hirata
Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Jujurnya inilah satu-satunya (setakat ini) buku dari penulis tersohor Indonesia, Andrea Hirata, yang habis dibaca. Bukunya yang terdahulu, Laskar Pelangi, aku pernah baca tetapi tidak habis (sebab malas nak renew tarikh pinjam di PTSL). Lagipun sudah tengok filemnya, jadi tidak begitu bersungguh pula hendak habiskan.

AYAH terbit pada Mei, 2015 dan aku dapatkan senaskah dengan cara mengirimnya dari ibu yang kebetulan ke Indonesia pada pertengahan Ogos yang lalu.

Beberapa bab awal agak struggle juga hendak baca sebab 1) bahasanya agak canggung, 2) agak meleret dan semacam tidak tahu plot utama cerita. Namun disebabkan banyak rakan-rakan di GR yang beri rating yang amat tinggi, jadinya gagahkan juga untuk baca. Sampai separuh baru dapat tahu kenapa begitu ramai orang mengagumi Andrea Hirata.

Lenggok bahasanya indah namun minimalis, kosa katanya luas sekali sehingga dia mampu menggambarkan hal-hal habis mundane dalam perkisahan yang bila dibaca habis indah, watak-watak yang dibangunkan walaupun secara geografi dan sejarahnya jauh berbeza dari kita, terasa amat-amat dekat dan akrab sekali sehinggakan kau tidak boleh tidak daripada terusik emosi apabila ada momen-momen tertentu berlaku ke atas mereka.

Aku kagum bagaimana Andrea Hirata mampu untuk menceritakan babak Sabari berbasikal merentas pekan untuk ke kedai pajak gadai demi untuk menebus radio ayahnya. Nyaris tertumpah air mataku sambil membaca tersengih-sengih sendirian.

Hebat. Salah satu buku yang semestinya akan aku ulang baca di lain kali.

2. A Monster Calls - Patrick Ness
Goodreads rating: 5/5

Rasa:
Ah. Jangan terpedaya dengan tajuknya ataupun kulitnya yang tidak menangkap. Kalau AYAH menceritakan kasihnya seorang anak kepada ayah dan kecintaan seorang ayah kepada anaknya, A MONSTER CALLS pula mengisahkan tentang ketidaksanggupan seorang anak menghadapi realiti bahawa dia bakal kehilangan ibunya buat selama-lamanya.

Terlalu banyak momen-momen yang mengundang air mata sehingga aku tidak tahu hendak pilih yang mana satu.

Khabarnya buku ini bakal difilemkan. Oh-My-Gosh!!!

Itu sahaja yang mampu saya ungkapkan. Ini adalah antara buku yang semua orang wajib letak dalam senarai WAJIB BACA.

3. Brazil - Ridhwan Saidi

Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Tahun lepas, Ridhwan Saidi hadir dengan Babyrina. Tahun 2015 beliau tampil dengan fiksyen/travelog/surreal/absurd berjudul BRAZIL.

Sukar untuk meletakkan BRAZIL di rak yang mana, antara fiksyen dengan non-fiksyen, kerana terkadang apabila dibaca ada beberapa bahagian dibaca sepertinya Ridhwan Saidi 'sengaja' untuk menciplak nuansa travelog dirinya ke Brazil dalam misi untuk menyiapkan sebuah buku. Pada masa yang sama ada juga kisah fikyen tentang penyiasatan si Roy yang diupah bos Fixi untuk mengintai Ridhwan (yang dalam buku) supaya menyelesaikan tugas menulis buku di Brazil.

Sangat-sangat mindfucked... dan sofistikated.

Seperti biasa; bahasa Ridhwan Saidi santai sahaja. Tidak berbunga-bunga, tidak bombastik dan habis minimalis. Itu aku suka. Tidak perlu guna onomatopoeia dan segala macam teknik literasi untuk "mengindahkan" tulisan beliau yang sudah sedia ada bagus.

Jarang hendak bertemu penulis tempatan yang mampu menulis seperti Ridhwan Saidi. Aku pernah terbaca ada orang dengan bijak dan penuh apt pernah menyimpulkan: ramai orang mahu menjadi seperti Ridhwan Saidi namun tidak mampu.

Heh.

4. Miss Peregrine's Home for Peculiar Children - Ransom Riggs
Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Buku pertama dari trilogi Miss Peregrine's Peculiar Children ini aku boleh simpulkan dalam satu perkataan: gelap.

Aku gemar bagaimana buku ini mengambil pendekatan non-conformist dalam eksposisi cerita. Bukan naratif semata-mata. Pembaca disajikan dengan gambar-gambar obskur entah apa yang sedikit sebanyak menyuntik rasa semak perut dan perasaan 'tolong kalih belakang sebab takut ada orang tengah usyar kau'.

Walaubagaimana pun, aku harus akur bahasanya agak wishy-washy. Macam mana entah cakap, ya? Kalau diukur dengan skala graf, komposisi naratifnya tidak sebagus ceritanya. Dalam erti kata lain, ceritanya bagus, cuma cara ia dipersembahkan kurang berkesan, pada pendapat aku.

Namun ini tidak menghalang daripada aku berikan rating yang tinggi kerana bagi aku nuansa seramnya sampai.

Cumanya aku tidak begitu bersungguh untuk membaca sekuel dan buku ketiganya. Mungkin, dan aku bilang mungkin, kalau suatu hari nanti ketemu di BBW barangkali aku akan beli. Kalau tidak jumpa pun tak apa.

:-)

5. Mr Mercedes - Stephen King
Goodreads rating: 3/5

Rasa:
Jarang untuk dapat baca tulisan Stephen King yang selalunya diasosiasikan dengan genre seram/supernatural dan thriller. Siri penyiasatan bekas polis bernama Hodges (yang khabarnya aku baca ada 3 siri buku kesemuanya) dimulakan dengan bab pertama yang menceritakan dengan penuh grafik bagaimana seorang psikopat mencuri sebuah kereta Mercedes dan membuat siri langgar lari paling epik pernah aku baca.

Namun, mungkin oleh kerana ini tulisan Stephen King yang berlainan genre daripada yang selalu aku baca, jadinya kisah Mr Mercedes ini bagi aku menarik, tetapi tidak cukup menarik untuk aku beri 4 bintang. Tetapi aku harus tabik kepada Stepkehn King kerana mampu menulis dalam pelbagai genre.

6. Batman: The Killing Joke - Alan Moore, illustrasi: Brian Bolland
Goodreads rating: 5/5

Rasa: 
Naskah ini sebenarnya aku belikan untuk seorang kenalan. Jadi bila ia sampai ke  rumah, aku minta izin untuk baca terlebih dahulu dan terus-terang aku bilang... aku benar-benar menikmatinya.

Novel grafik ini mengisahkan rentetan awal bagaimana musuh tradisi Batman iaitu Joker menjadi seorang psikopat ikonik yang digeruni dan juga dikagumi.

Cumanya, pada pengakhiran novel grafik ini aku baca bagaikan ada sedikit cliffhanger yang disengajakan, sepertinya penulis/pelukis mahu dedahkan pengakhiran cerita namun enggan mendedahkan sepenuhnya, jadi terpulanglah kepada adaptasi dan fahaman tersendiri pembaca.

7. The Strange Library - Haruki Murakami
Goodreads rating: 5/5

Rasa:
Ini buku yang aneh, boleh disimpulkan sebagai part horror/fantasy story, part fairy tale. Membuat pembaca tertanya-tanya akan erti dan rasa hidup-mati, signifikasinya kau dihidupkan di dunia dan juga kasihnya seorang ibu.

Menarik.

Namun aku kira pembaca tidak boleh anggap serius dalam menganalisis novella ini kerana bagi aku ia terbuka untuk sebarang adaptasi dan tanggapan yang berbeza-beza, bergantung kepada rasa dan perasaan pembaca itu sendiri.

8. Cerpen - Regina Ibrahim



Goodreads rating: 5/5

Rasa:
27 cerpen himpunan Regina Ibrahim yang bertunjangkan ikonografi kemanusiaan, feminisme, gender issues dan kekeluargaan.

Walau setiap satunya tiada variasi ketara dari segi genre, namun koleksi ini memperlihatkan kepandaian penulis sebagai bukan sahaja seorang pemerhati yang bijak, malah seorang penganalisis dan pengadaptasi yang baik. 

Pembaca secara tidak langsung boleh mencedok iktibar dan pengajaran dari setiap satu kisah yang dipaparkan untuk dijadikan pedoman hidup.

9. Middlesex - Jeffrey Eugenides

Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Membaca Middlesex ini memperlihatkan ketelitian dan kejituan penyelidikan yang dilakukan oleh penulis sepanjang proses menyiapkan manuskrip ini.

Mulanya aku terpanggil untuk angkat naskah ini kerana tajuknya meningatkan aku tentang nama tempat yang bernama serupa. Tetapi hakikatnya ini kisah penghuraian dan kekaburan identiti gender dan persoalan diri.

Naskah ini agak berat untuk dihadam, mungkin sekali temanya yang berat dan pengkisahannya yang banyak bersangkut-paut dengan lipatan sejarah, agama dan mitos seputar.

Patutlah Oprah Winfrey juga galak merekomendasi buku ini dalam Oprah Book Club beliau...  

10. Perjalanan - Regina Ibrahim
Goodreads rating: 3/5

Rasa:
Aku ada menulis ulasan panjang tentang buku ini di Goodreads. Ini naskah travelog/memoir/biografi fiksyen yang bagus. Bagaimana Rozan yang lemas dan tercari-cari identiti dirinya sendiri sehingga dia 'bertemu' dengan Rozila diceritakan dengan baik sekali.

Buku ini benar-benar berjaya membuka mata pembaca agar tidak mudah menuding jari dan mencemuh orang seperti Rozila kerana kalian tidak tahu apakah bentuk pancaroba yang harus golongan sebegini tempuhi dalam proses untuk mencari diri sendiri.

11. Urban - Azrin Fauzi
Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Azrin Fauzi seorang anak muda yang punya kelebihan luar biasa dalam menulis, pada hemat akulah. Bagi aku, beliau seorang pemerhati senyap yang prihatin terhadap subject matter-nya. Setiap baris ayat dalam cerpennya ditulis cermat dan tertib, memperlihatkan keperkasaan kosa katanya yang luas.

Membaca himpunan cerpen ini sahaja sudah cukup untuk aku menyimpulkan bahawa penulis seorang yang gemar membaca buku-buku bagus dan punya bakat besar dalam bidang penulisan. Tidak sabar rasanya hendak membaca novelnya (kalau dia ada terbitkan di kemudian hari, harapnyalah).

Aku berkesempatan untuk duduk semeja dan bersembang dengan anak muda (ceh, anak muda... macamlah aku ni tua sangat!) ini dan sepetang bersamanya terasa tidak memadai untuk aku mencungkil apa yang terlipat di fikirannya.

Harap Azrin akan terus menulis untuk tahun 2016. 

12. Romantis - Nuril Basri
Goodreads rating: 3/5

Rasa:
Naskah mentah awal yang diberikan oleh penulis kepada aku untuk rebiu mulanya dibaca agak longgar dan pada hemat aku banyak kelemahannya.

Namun naskah edisi terjemahan dari Bahasa Indonesia ke Bahasa Malaysia ini nyata menunjukkan kesungguhan penulis untuk membaiki mutu penulisannya yang sedia ada baik. Tetapi dek kerana naskah ini terbit selepas penulis menerbitkan Dosa, jadinya aku letak expectation yang agak tinggi terhadap Romantis kerana Dosa sudah sedia ada bagus kualitinya.

Pengakhiran Romantis yang punya sedikit twist menyuntik elemen kejutan dan kesegaran untuk novel bertemakan romantik/realisme ini.

13. Bagaimana Anyss Naik Ke Langit - Faisal Tehrani
Goodreads rating: 4/5

Rasa:
Betul apa kata Cikgu Lordzara; naskah ini harus dibaca tenang dan tenteram kerana ia dibaca bagaikan separuh laporan akademik, separuh fiksyen dan separuh cuplikan berita.

Buku ini sebenarnya aku sudah baca di tahun 2014, tetapi aku baca sekali lagi di tahun ini sebab aku tak puas hati (dan tidak berapa faham penyudahnya).

Seperti biasa, laras bahasa Faisal Tehrani ada kalanya minimalis, ada kalanya bombastik dan ada kalanya biasa-biasa sahaja. Namun naratifnya dibaca segar dan memperlihatkan kepandaian dan ketokohan beliau dalam meneliti, memperhalusi dan memerhati situasi masyarakat pribumi yang sering terlepas pandang dek mata masyarakat umum.

14. Santet - Saat Omar
Goodreads rating: 3/5

Rasa:
Apabila Saat Omar tampil dengan Santet, aku antara orang yang tidak sabar untuk mendapatkan novel dengan dua ekor lintah ungu menjadi penghias kulit buku ini. Ini adalah kerana aku meletakkan harapan bahawa naskah ini mampu memberikan rasa yang sama seperti ketika aku membaca Seronok dahulu.

Santet dibaca agak santai, terlalu santai sebenarnya sehinggakan awalan ceritanya dibaca agak meleret dan tiada fokus khusus. Namun begitu, penulis nyata bijak menghidupkan watak-watak yang colorful dan pelbagai, menjadikan bacaan terasa hidup dan meyakinkan.

Aku tahu, bukan mudah untuk membuat kajian dan menterjemahkan watak-watak dukun dan VVIP ke atas kertas fiksyen, kerana bukan semua orang pernah punya pengalaman bertemu dukun dan VVIP. Hahahaha...

15. Dear Life - Alice Munro
Goodreads rating: 5/5

Rasa:
 Alice Munro merupakan pemenang hadiah Nobel Sastera 2013. Himpunan koleksi cerpen dalam antologi Dear Life ini banyak bermain dengan emosi, situasi tak terduga dan percaturan hidup manusia.

Alice Munro merupakan seorang penulis yang tidak pretentious, tidak showy. Semua tulisan beliau terasa jujur dan dibaca bagaikan seperti sama ada dia pernah dengar orang ceritakan kepadanya atau dia sendiri pernah melaluinya suatu ketika dahulu. Ayat-ayatnya mudah, ringkas dan tidak terlalu berbunga-bunga, menjadikan pembacaan terasa akrab, walaupun faktor jurang masa dan geografi latar setiap satu cerpen yang terhimpun.

Aku bilang Alice Munro tidak pretentious dan tidak showy kerana laras bahasanya tidak dahsyat bersalut metafora dan perlambangan seperti pemenang Nobel Sastera yang lain seperti Mo Yan yang gemarkan suntikan nuansa magical realisme dalam tulisan beliau, atau Orhan Pamuk yang gemar menulis hal-hal melankolik mendayu-dayu yang sarat dengan metafora, atau Gabriel Garcia Marquez yang mahir menulis kisah-kisah yang sarat, komplikated dan penuh dengan hirisan sejarah.

Cerpen-cerpen Alice Munro dibaca biasa-biasa sahaja sehinggakan kau tertanya-tanya, macam mana dia boleh layak menerima anugerah Nobel.

Jawapannya terletak kepada kejujuran dan kepersisan tulisannya. Itu sahaja. Beliau seorang pemerhati dan pencerita yang amat-amat mengagumkan, pada hemat aku.

*EXTRA*. A Little Life - Hanya Yanagihara
Goodreads rating: TBA

Rasa:
 50 muka surat pertama aku macam ni...
 


Lepas tu dah separuh aku jadi macam ni...


Dekat-dekat nak last buku aku rasa macam ni...

“You won’t understand what I mean now, but someday you will: the only trick of friendship, I think, is to find people who are better than you are—not smarter, not cooler, but kinder, and more generous, and more forgiving—and then to appreciate them for what they can teach you, and to try to listen to them when they tell you something about yourself, no matter how bad—or good—it might be, and to trust them, which is the hardest thing of all. But the best, as well.” ― Hanya YanagiharaA Little Life

Okay... jujur... Sebenarnya aku belum habis baca novel tebal ini. Namun rasa awal yang aku boleh simpulkan di sini adalah setelah aku mendapat amaran awal dari kalangan booktubers, rakan-rakan dan juga pensyarah aku sendiri yang memberitahu bahawa novel ini punya momen-momen yang agak gritty dan grafik kerana tema yang diketengahkan di dalam novel ini agak berat dan memang tidak sesuai untuk pembaca yang tidak matang.

__

Itulah 15 buku terbaik untuk 2015 yang aku baca. Kalau sudi, kalian kongilah jugak buku-buku terbaik yang dah dibaca sepanjang 2015.

Apa-apapun, selamat tahun baru!

#muahciked

p/s: - 15 Januari nanti jangan lupa bukak Wattpad Buku Fixi
p/s/s: - lagi satu, jangan lupa simpan duit untuk bulan April nanti. :p 

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015