Isnin, 9 Mac 2015

397: [siri ulasan buku] #44 - perjalanan karya regina ibrahim.

Membaca helai demi helai naskah setebal 252 halaman ini membuat aku terpanggil untuk teringat akan kes seorang transeksual bernama Fatine Young yang akhirnya memenangi hak untuk tinggal bersama pasangannya di UK suatu ketika dahulu.

Kisah yang dipaparkan dalam PERJALANAN bukan suatu perjalanan biasa. Bagaimana seorang transgender bernama Rozan yang menelusuri hidupnya hari demi dari di bawah pemerhatian mikroskopik masyarakat yang kebanyakannya prejudis dan juga tidak mempunyai banyak pengetahuan tentang ilmu seksualiti sehingga menyebabkan golongan seperti Rozan dan rakan-rakan mereka tersepit di antara lipatan arus masyarakat. Bagaimana Rozan perlahan-lahan bangkit dan menemui dirinya yang sebenar sebagai Rozila, dan bagaimana Rozila akhirnya menemui awalan kebahagiaan sebuah kehidupan.

Plot yang dirungkaikan dalam PERJALANAN mudah. Sangat straight forward. Tiada plot twist, cuma penuh dengan sandiwara, gelak-ketawa, sedu-sedan dan semestinya sarat dengan informasi tentang apakah ertinya melalui hari-hari sebagai seorang yang TS. Aku sendiri akui tidak punyai banyak pengetahuan tentang golongan maknyah, jadinya dengan hadir novel ini dalam barisan novel baru untuk 2015 bakal membuka minda dan perhatian masyarakat tentang golongan tersebut. Pendek kata, ini merupakan bacaan ringan yang sarat dengan informasi yang berguna.

Mama Regina bijak menggunakan pengetahuannya yang sedia ada tentang dunia maknyah, membina latar tempat dan ruang lingkup masa yang amat-amat meyakinkan, sehinggakan kita sebagai pembaca berjaya dibawa bersama untuk mengikut perjalanan kisah Rozila yang bermula di Pulau Pinang (apakah kerana Mama Regina juga seorang anak mami tanjung?), dan seterusnya ke Kuala Lumpur sebelum berakhir ke kota London dan Paris. Bagaimana Rozila melakukan pembedahan SRS (sex reassignment surgery) dan buah dada diceritakan dengan agak grafik dan realistik. Kita yang selama ini sekadar membaca atau tahu gitu-gitu sahaja kali ini bagaikan dapat ‘merasakan’ sendiri apa yang Rozila lalui. Perit dan ngilu! Pembaca juga dipertemukan dengan pelbagai watak-watak yang punya seribu-satu rencah wadah kehidupan yang berbeza. Aku paling suka watak ‘Mama Regina’ (yang jelas sekali aku kira merupakan suatu simbolisme kepada penulis sendiri?) dan juga Roberta yang flamboyant dan benar-benar seorang makhayam dengan kosa katanya yang berbunga-bunga.

Beberapa kelemahan yang paling ketara dalam hal perincian plot PERJALANAN ini adalah:
a)  Transisi timeline antara masa lalu, masa semasa dan latar tempat tidak diceritakan dengan begitu baik. Terutama sekali pada beberapa bab awal yang semacam ‘melompat’ latar tempat dari London ke Malaysia. Agak annoying.
b)  Kesalahan tatabahasa seperti ejaan ‘macamana’ yang sangat-sangat banyak ditemui. Harap editor lebih peka.
c)  Ayat-ayat yang semacam terpotong dan tergantung. Contohnya pada halaman 96, baris 19: ‘Terdengar dan salam diberi’, dan juga beberapa potong ayat lain yang ditemui. Diharap mungkin dalam cetakan berikutnya hal ini dapat dibaiki.

Namun begitu, aku suka gaya bahasa Mama Regina dalam novel ini. Mudah, ringkas dan tidak berkias. Teknik naratif memberitahu dan bukannya mempersembahkan yang digunakan oleh penulis amat bersesuaian dengan kisah Rozila yang dipaparkan dalam PERJALANAN kerana tiada sebarang unsur-unsur kejutan diselitkan.

Lima-enam bab terakhir novel ini bergerak dengan amat pantas. Semacam penulis hendak segera menyelesaikan kisah Rozila secepat mungkin tanpa sebarang elemen penceritaan yang kukuh dan backstory yang meyakinkan, menjadikan pembaca semacam terasa sedikit hampa. Banyak ruang-ruang cerita yang boleh dikembangkan kali sebenarnya untuk menyedapkan lagi penyudah cerita Rozila ini, terutama sekali apabila menyentuh watak Ismail yang muncul tepat pada bab 40 dan seterusnya, tetapi tidak dikembangkan sepenuhnya dan sebaik mungkin. Namun begitu, sebagai novel sulung, ini sudah cukup bagus sebenarnya.

Aku berharap benar Mama Regina akan menulis lagi, dan teringin sekali bertemu empat mata dengan penulisnya. Pasti banyak hal yang ingin aku tanyakan dan pelajari dari beliau.

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015