Ahad, 29 Disember 2013

362: [siri ulasan buku] #38 - seronok karya saat omar.

Aku seorang pembaca yang sukar untuk dipuaskan. Benar, itu aku tidak sekadar mereka-rekakan fakta. Tanyalah kepada kenalan rapatku, pastinya mereka sedia maklum kalau ada naskhah novel yang baru selesai aku baca, jika ditanyakan soalan “Jadi apa kau rasa terhadap novel (masukkan nama judul novel tersebut) yang kau baru baca tu?” pastinya ada sahaja ulasan panjang-lebar yang akan aku bebelkan sehingga terkadang tidak cukup kalau duduk dengan hanya berbekalkan secangkir kopi panas.

Jadi, apabila aku memperoleh naskhah SERONOK nukilan Saat Omar, sebenarnya aku punya satu perasaan skeptikal yang agak tinggi terhadap novel yang berkulit agak *ehem* kontroversial ini. Pertama, dan ini pernyataan habis ikhlas daripada aku, aku langsung tidak mengenali penulisnya. Aku tidak tahu latar-belakangnya, umurnya berapa, tinggalnya di mana dan segala macam hal lagi yang berkaitan dengannya. Kedua, novel ini telah terbit September yang lalu dan aku baru sahaja berpeluang untuk membacanya, sudah tentulah sudah ramai pembaca tegar dan kipas-susah-mati Fixi uar-uarkan dan mendiskusikan tentang novel ini; makanya aku tidak dapat mengelak daripada sedikit-sebanyak sudah pun mempunyai sedikit prior knowledge tentang apa yang aku patut jangkakan ketika membaca novel setebal 318 halaman ini.

Sabtu, 28 Disember 2013

361: [siri ulasan buku] #37 - gantung karya nadia khan.

Aku secara harfiahnya melonjak kegirangan apabila boss besar Buku Fixi memberitahu aku yang novel keduaku bakal dilancarkan bersama-sama dengan novel kedua Nadia Khan. Jujur aku bilang, aku tumpang bangga dan terharu apabila diberi peluang untuk berkongsi lime-light dengan satu-satunya novelis Fixi di mana novel debutnya, KELABU, sudah entah berapa kali diulangcetak dan masih lagi mengungguli carta bestseller toko-toko buku sekitar Malaysia. Jadi apabila aku mendapat tahu yang Nadia Khan bakal muncul dengan novel keduanya yang berjudul GANTUNG, senyum aku sampai ke telinga.

Sebenarnya aku punya ekspaktasi yang agak tinggi untuk GANTUNG kerana bagi aku, KELABU merupakan antara novel terbitan Buku Fixi yang terbaik sehingga ke hari ini (aku punya senarai 10 novel Fixi kegemaran sepanjang masa tetapi atas sebab-sebab tertentu aku enggan dedahkan di sini, maaf ya?). Jadi apabila aku mula membaca GANTUNG, aku berharapkan sesuatu yang luar biasa, aku mengharapkan yang aku merasai sensasi yang kalau tidak serupa, lebih kurang sama seperti mana selepas aku membaca KELABU dua tahun yang lalu (dua tahun, gosh…lamanya!).

Khamis, 26 Disember 2013

360: [siri ulasan buku] #36 - cerpen faizal sulaiman karya faizal sulaiman.

Faizal Sulaiman kembali lagi dengan percaturan kedua beliau selepas debut novel beliau, SUMBAT, laku keras di pasaran. Kali ini, beliau tampil dengan sejumlah koleksi cerpen (30 kesemuanya) yang dimuatkan dalam antologi yang berjudul ‘Cerpen Faizal Sulaiman’. Kekal dengan trademark koleksi antologi cerpen yang terdahulu, FIXI kali ini mengekalkan konsep kulit berwarna kelabu. Faizal Sulaiman seharusnya berasa bangga kerana kini nama beliau sebaris dengan penyumbang-penyumbang siri antologi cerpen yang terdahulu seperti Khairul Nizam Bakeri, Nadia Khan dan Shaz Johar. Hai, entah bilalah koleksi cerpen aku hendak cukup banyak seperti mereka ini agar dapat menerbitkan antologi cerpen sendiri pula… #berangan #optimis

Antologi yang memuatkan 30 buah cerpen yang menurut Faizal Sulaiman merupakan koleksi beliau sejak lima tahun yang lalu mempersembahkan rencah kisah yang pelbagai. Sukar untuk meletakkan satu label khusus yang dapat merangkumkan tema cerpen-cerpen yang termuat di dalam antologi ini, tetapi pada hemat aku, kebanyakannya cerpen yang terkandung di dalam koleksi berkulit secangkir latte ini banyak bertunjangkan kemanusiaan. Tiga cerpen terakhir yang termuat di dalam antologi ini pernah disiarkan di dalam antologi cerpen lain (KOPI, BOLA dan KLCC) iaitu Kopi Julia, Sesaat Ke Gawang dan Izzaq; makanya dalam ulasan kali ini aku tidak akan mengulang-ulas ketiga-tiga cerpen tersebut.

Nah, berikut merupakan ulasan serba ringkas terhadap setiap cerpen yang terkandung di dalam antologi Cerpen Faizal Sulaiman ini. Semoga ulasan ini sedikit-sebanyak membantu penggemar buku-buku FIXI di luar sana untuk menilai dan seterusnya mengangkat senaskhah antologi cerpen ini untuk dibaca dan dijadikan koleksi peribadi. Maaf kalau ulasan ini agak bersifat teknikal dan banyak memperkatakan tentang naratif, konstruksi cerita dan hal-hal teknikal dan bukannya berkisar kepada plot setiap cerpen semata-mata.

=)

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015