Selasa, 22 Januari 2013

Sabtu, 19 Januari 2013

325: [siri ulasan buku] #30 - sumbat karya faizal sulaiman.

Aku akui, sebenarnya agar sukar untuk menulis sesebuah karya yang menampilkan barisan watak, pelbagai plot yang bergerak serentak (lengkap dengan konflik, permasalahan dan peleraiannya yang tersendiri, sebelum bersatu di satu titik klimaks besar) tanpa a) meninggalkan aspek-aspek kualiti penceritaan dan naratif yang baik dan b) menghasilkan karya yang bebas loophole. Kalau adapun naskah yang sebegitu, pastinya tidak cukup untuk dipersembahkan dalam naskah yang hanya setebal sekitar 300 halaman. Aku terpanggil untuk mengingati novel Warisan karya Abdul Talib Mohd. Hassan, The Stand karya Stephen King, ataupun siri The Vampire Chronicles karya Anne Rice yang bagi aku berjaya mempersembahkan sebuah kisah multiple characters dengan watak-watak berselirat dan perkembangan naratif yang amat cemerlang sekali tanpa menjejaskan kualiti "pembinaan" watak itu sendiri.

Amaran awal: SUMBAT merupakan suatu naskah bacaan yang meletihkan. Kau bakal dijamu dengan watak-watak (yang aku kira ada sekitar kurang 20 kesemuanya) yang pelbagai kerenah, jalan cerita yang  tersengguk-sengguk dan nama makanan berjela-jela yang aku kira tak perlu pun disebut sebenarnya tetapi tetap juga disebut oleh penulis (mungkin kerana beliau mahu pembaca tahu dan sedia maklum bahawa dia seni kulinari?) sehingga menyebabkan terkadang kau rasa kalau buang nama-nama makanan dan cara-cara memasak entah apa yang termuat di dalam novel ini, pastinya ia lebih padat, mesra-pembaca dan mudah hadam.

"Hiburan melekakan budak-budak zaman sekarang!"
- Abdul Fakar, bab 8, halaman 71.

SUMBAT merupakan percaturan sulung Faizal Sulaiman dalam arena penulisan kreatif kontemporari, memaparkan konflik yang timbul selepas insiden Kafe Halia terbakar dan bagaimana tragedi itu memberi impak kepada watak-watak di sekitarnya. Lipatan-lipatan sejarah, rungkaian rahsia dan kisah-kisah lampau yang terjadi pada pekerja dan juga pengunjung kafe tersebut menjadi rencah dan tunjang utama kepada SUMBAT. Konspirasi balas dendam, kekasih gelap, amnesia, pertukaran identiti dan cinta tak kesampaian; semuanya diSUMBAT ke dalam novel terbaru keluaran FIXI ini. Bagi mereka yang rajin singgah ke blog penulis, semestinya sudah sedia maklum dengan gaya tulisan beliau yang sarat dengan anekdot sinikal yang terkadang harus dibaca berulang-kali untuk difahami. Kosa kata yang dimiliki oleh penulis ternyata amat luas, aku menemui banyak perkataan-perkataan deskriptif baru yang sama ada pertama kali aku baca atau sudah pernah baca tapi tidak terpanggil untuk mengugel maksudnya.

Membaca SUMBAT seolah-olah membuat kau akan berada di Wisteria Lane, tetapi versi Malaysia. Watak-watak archetypal klise sebuah komuniti masyarakat ada di dalam SUMBAT. Sejujurnya amat sukar untuk aku klasifikasikan sama ada aku suka atau tidak akan novel ini. Cliffhanger yang muncul pada penghujung hampir setiap bab terkadang membuat aku rasa sesak dan rimas untuk membaca kerana (bagi aku) ia agak mengganggu kontinuum penceritaan sesuatu watak. Sudahnya, belum masuk bab 5 lagi tapi sudah hampir lapan watak yang pada hemat aku 'pipih' dan 'tidak berjiwa' diperkenalkan'. Penulis sepertinya terlalu berusaha untuk mempersembahkan suatu kisah multiple plots yang berselirat semacam telenovela atau sinetron, namun ini secara tidak langsung menjejaskan persembahan perincian watak yang diperkenalkan. Kebanyakan watak terasa seperti out of place dan tidak begitu melekat di otak pembaca. Tetapi aku sedar, menjukstaposisikan tulisan Stephen King dan Anne Rice dengan Faizal Sulaiman adalah seperti membandingkan macaroons dengan cucur badak: dua hal yang jauh berbeza. Masing-masing punya kelebihan dan kekurangan, punya penggemar dan kelemahan yang tersendiri.

Namun begitu, kelemahan ketara yang aku nampak dalam SUMBAT ada tiga.

  1. Latar masa naskah ini terkadang terasa seperti berlangsung pada sekitar pertengahan 80-an (dengan dialog berbaur drama televisyen seperti: "Kenapa kau susah sangat nak tolong mak? Dah tak ada ruang ke mak dalam hidup kau?" [halaman 43]), terkadang ada juga nuansa semasa kerana ada dialog monolog yang menyebut artis terkini seperti Lady Gaga dan Nicki Minaj. 
  2. Walaupun persembahan lenggok bahasa penulis adalah antara yang paling baik pernah aku baca, laras bahasanya juga terkadang agak kejung, dengan ada beberapa prosa dialog di dalam SUMBAT yang terasa seperti lebih sesuai dijadikan naskah teater. 
  3. Latar tempat dalam naskah ini juga sayangnya gagal diperincikan dengan baik. Pembaca dibiar 'mengisi tempat kosong' untuk menggambarkan suasana dan dekorasi Kafe Halia tersebut. Apakah ia sebuah high-end restaurant? Sebuah quaint cafe? Sebuah warung yang hidup segan mati tak mahu? Atau adalah ia sebuah restoran milik Bumiputera di mana lantainya simen dan dindingnya batu tanpa sebarang dekor eksklusif? Kebun Bunga, latar tempat utama dalam SUMBAT juga dibiar tidak dideskripsi dengan baik. Apakah ia semacam kawasan pinggir pekan seperti kawasan Durian Tunggal, Melaka? Atau apakah ia kawasan elit seperti Damansara Perdana? Berpagarkah rumah-rumah di situ, atau apakah kawasan perumahan itu bebas-pagar seperti di Putrajaya? Semuanya dibiar tidak dihuraikan, sehingga aku (ya, aku agak cerewet) terasa sukar untuk menggambarkan senario latar watak-watak yang sakan bersembang di Kebun Bunga itu.

Walaubagaimana pun, jangan salah faham. SUMBAT bagi aku merupakan satu naskah yang bagus. Cuma aku kira suntingan dan pencernaan wataknya kurang sempurna. Jadinya yang tinggal hanya pergerakan plot yang 'dilakonkan' oleh watak-watak yang kurang meyakinkan. Ditambah pula dengan sub-konflik yang berlapis-lapis (yang sememangnya sudah menjadi marque déposée Faizal Sulaiman) menyebabkan pembaca akan banyak kali garu kepala dan bertanya "Eh, ni cerita tentang apa? Kenapa ada kat sini?". Plotnya yang tidak linear juga akan membuat pembacaan terhenjut-henjut seperti menunggang unta. Sehingga ada di suatu ketika, seingat aku langsung tidak ada pun disebut oleh Eva (salah satu watak dalam SUMBAT) tentang keinginannya untuk membuka restoran baru, dan setibanya di bab 12, ada babak majlis pecah tanah restoran. Aku garu kepala. Apakah aku terlepas baca, atau adakah ia tidak diperjelaskan dengan baik?

Konsep 'memberitahu' dan bukannya 'menceritakan' yang wujud dalam SUMBAT menyebabkan perkaitan antara satu watak ke satu watak yang lagi satu dapat difahami dengan jelas. Itu kekuatan terbesar yang aku lihat. Penulis berjaya mengaitkan kesemua permasalahan yang timbul sedari awal bab satu novel setebal 314 halaman ini hingga ke epilog yang menutup kisah ceritanya dengan baik sekali. Kejutan demi kejutan yang akan membuat pembaca berkata; "Eh, dah mati ke perempuan ni?" berjaya memancing pembaca untuk terus duduk (atau baring seperti aku) dan habiskan membaca.

Moralnya, janganlah menderhakai ibu-bapa walaupun mereka sendiri punya sisi gelap yang kau mahu lupakan. Oh, dan dalam hidup ini kita harus bersederhana dalam apa jua situasi. Kerana yang tamak itu hanya bakal akan rugi di kemudian hari.

Apakah ini suatu naskah wajib baca bagi semua penggemar buku FIXI? Semestinya, ya! Tetapi adakah SUMBAT suatu naskah yang boleh diulangbaca, aku mungkin akan ambil sedikit masa dan jawab mungkin tidak. 

Rabu, 16 Januari 2013

324: Awak, Dia Belajar Melupakan.

Awak.
Apakah awak masih luangkan masa?
Untuk manusia yang bukan lagi istimewa?
Untuk manusia yang sudah lari dari sempurna?
Untuk manusia yang awak pernah cinta.

Awak.
Dia berterima kasih.
Atas segala penat jerih.
Sewaktu awak dan dia menyulam kasih.
Ada saat gembira, dia ingat, masih.
Ada saat duka, dia ingat lagi, sedih.

Awak.
Bila dia sudah bergerak.
Dia sudah enggan toleh curi pandang jejak.
Sedikit pun dia enggan lihat corak.
Biarlah segalanya hilang rosak.
Kerana dia mahu lepaskan perasaan retak.

Awak.
Sesekali awak dan dia bertemu.
Tanpa sengaja, berselisih pintu.
Tanpa disedari, berselisih bahu.
Tanpa sebarang bicara, mulut terkunci membisu.
Lidah sememangnya keju.
Kawal hati dari terus jadi pilu.

Awak.
Dia ingat setiap benda tentang awak.
Setiap satunya, bukan secara rawak.
Setiap ketawa, setiap kisah lawak.

Awak.
Dia tidak istimewa.
Untuk mana-mana manusia.
Dia hanya mampu jadi diri dia.
Yang kalau ada, hanya dia yang suka.
Yang kalau perlu, hanya diri dia rasa.
Bukan orang lain yang datang dan pergi sesuka mereka.

Awak.
Dia jatuh dan bangun kembali.
Dia sudah lupa bilangan dia paksa berdiri.
Dia tidak mengingati bila kali terakhir dia dihargai.
Tetapi pastinya, dia sentiasa kenal diri.
Untuk teruskan senyuman dalam hati.

Awak.
Dia belajar untuk melupakan.
Supaya tiada kesan.
Supaya tiada hati yang penuh calaran.

Awak.
Dia hanya mahu awak hidup baik-baik.
Selamanya.

[ditulis semula dengan ihsan dari ♛ LORD ZARA 札拉 ♛ dari sini.]

Selasa, 15 Januari 2013

323: [siri ulasan buku] #29 - mangsa karya gina yap lai yoong.

Membaca MANGSA membuat aku senyum sendiri tatkala nama beberapa watak di dalam novel ini muncul. Hani dan Iqbal contohnya, kerana mereka berdua merupakan rakan se-FIXI. Jadinya setiap kali dua watak ini muncul, aku tidak boleh tidak daripada membayangkan mereka berdua. Watak Rosmah pula mengingatkan aku tentang you-know-who.

Apa-apapun, MANGSA merupakan sambungan kepada NGERI walaupun pada amnya kedua-dua novel ini boleh dibaca secara berasingan kerana MANGSA secara teknikalnya adalah sebuah stand-alone sequel kepada NGERI.

Plotnya disusun kemas, teratur dan masih lagi mengekalkan stail dan naratif yang serupa seperti NGERI. Namun jujurnya pada hemat aku, aspek perincian watak yang aku kira agak lemah masih lagi ketara dalam MANGSA. Aku ambil contoh watak Inspektor Rashid yang  mengepalai Pasukan Orang Hilang (POH) yang separuh cerita akhirnya terheret sama turut harus ke Kampung Terenggun kerana mahu menjejaki anaknya (Rosmah) yang hilang. Bayangkan, anaknya hilang, namun aku tidak langsung dapat merasai resah, sengsara, panik dan juga keterdesakan yang semestinya timbul (sebagai seorang manusia biasa, seorang ayah yang kehilangan satu-satunya anak kesayangan) tatkala dia sampai ke kampung itu untuk menyiasat kehilangan anaknya. Sebaliknya, dia masih lagi tenang dan seperti kehilangan anaknya itu langsung tiada apa-apa impak terhadap peribadi dan perwatakannya. Itu aku kira agak menghampakan. Namun, aku juga terfikir mungkin sekali Inspektor Rashid itu memang berperwatakan sebegitu kerana let's face it, dia seorang inspektor polis pula. Mana mungkin akan mencampur-adukkan emosi dan perasaannya ketika sedang bertugas? Ya, mungkin juga.

Begitu juga dengan Detektif Hema yang masih lagi meneruskan semangat beliau untuk menyudahkan kes NGERI yang masih lagi tertunggak ternyata seperti sekadar watak tempelan yang aku tidak dapat rasa keterdesakan dan kebersunguhannya untuk menjejaki pembunuh yang terlepas dari kes NGERI tersebut.

Tetapi aku benar-benar suka akan kemistri yang wujud antara dua watak lain iaitu Natalia dan Nazwan. Introduksi di awalan naskah ditulis dengan cemerlang sekali, dan penulis berjaya mengetengahkan isu-isu penting di tempat kerja seperti etika kerja, gangguan seksual di tempat kerja dan juga tatacara berkomunikasi dengan pihak atasan. Suatu hal yang aku kira ramai pembaca FIXI (sebab aku kira kebanyakan mereka masih belum habis belajar di universiti, kolej, poli atau sekolah?) patut tahu. Namun begitu, konsistensi dinamis dua watak itu mulai longgar dan menyurut apabila konflik benci-tapi-cinta yang berulang-ulang timbul di antara mereka yang membuatkan Natalia untuk melenyapkan diri, membawa diri ke Kampung Terenggun dan sekaligus memaksa Nazwan untuk menjejaki Natalia.

Abaikan perincian watak-watak dalam naskah ini yang pada pendapat aku agak underdeveloped dan tumpukan fokus pada ceritanya sahaja. MANGSA ternyata suatu naskah bacaan yang pantas, mudah dan berpotensi untuk menjadi lebih baik jika lebih banyak tumpuan diberikan kepada aspek 'mencerita' dan bukan sekadar 'memberitahu'.

Apa-apapun, klimaksnya menerujakan dan seperti NGERI, peyudahnya juga sesuatu yang tidak akan disangka-sangka; tatkala semua watak-watak yang diperkenalkan sedari awal akhirnya disatukan di lodge di tengah-tengah hutan, masing-masing dengan objektif dan motif tersendiri yang akan membuat pembaca tertanya-tanya dan tidak sabar mahu lekas habiskan baca untuk mengetahui siapa MANGSA dan siapa yang menjadi peMANGSA yang sebenarnya.

Syabas buat Gina! Satu lagi naskah FIXI yang tidak jemu untuk diulangbaca.

Khamis, 10 Januari 2013

322: ya, aku bodoh. maka maafkanlah.

When I get to Warwick AvenueMeet me by the entrance of the tubeWe can talk things over a little timePromise me you won't step out of line

When I get to Warwick AvenuePlease drop the past and be trueDon't think we're okay just because I'm hereYou hurt me bad but I won't shed a tear

I'm leaving you for the last time, babyYou think you're loving but you don't love meI've been confused, out of my mind latelyYou think you're loving but I want to be freeBaby you've hurt me

When I get to Warwick AvenueWe'll spend an hour, but no more than twoOur only chance to speak once moreI showed you the answers, now here's the door

When I get to Warwick AvenueI'll tell you baby that we're through

I'm leaving you for the last time, babyYou think you're loving but you don't love meI've been confused, out of my mind latelyYou think you're loving but you don't love meI want to be free, baby, you've hurt me

All the days spent together, I wished for betterBut I didn't want the train to comeNow it's departed, I'm broken-heartedSeems like we never started
All those days spent together when I wished for betterAnd I didn't want the train to come! Oh, oh

You think you're loving but you don't love meI want to be free, baby, you hurt meYou don't love me, I want to be freeBaby, you've hurt me

Assalamualaikum.

Ya, entri ini untuk kamu yang aku yakin benar akan baca kerana menurut kau, kau masih lagi kerap singgah ke blog ini untuk ketahui apa yang sedang terjadi kepadaku.

Entahlah. Sesi kopi dan sigaret kita tempoh hari ternyata suatu sia-sia. Aku tidak puas. Banyak hal yang aku rasa kau sorokkan dari pengetahuanku. Tak apalah. Kalau kau memilih untuk menjadi si bacul yang tidak mahu berdepan dengan realiti. Sepatutnya aku tidak bertemu kau lagi. Untuk apa? Untuk kau robek-robekkan hatiku dan lemparkannya sebagai makanan anjing?

Kau tahu tak sepulangnya aku menaiki tren ke kampus aku hanya mampu tunduk dan enggan mendongak kerana malu campur menyesal telah buangkan masa, energi dan pengharapan atas pertemuan sulung kita selepas sekian lama itu?

Ya, aku bodoh. Maka maafkanlah kerana masih lagi berharap.

Rabu, 9 Januari 2013

321: [siri ulasan buku] #28 - cerpen karya khairul nizam bakeri.

Aku ketepikan novel 1Q84 yang setebal Kamus Dewan itu untuk beri laluan habiskan baca kompilasi cerpen nukilan Khairul Nizam Bakeri (KNB) ini kerana tidak tertahan oleh ulasan Cik Zara di Goodreads. PECAH merupakan novel karya KNB di bawah publikasi FIXI yang pertama aku baca buat tahun 2011 dan dua tahun selepas itu, aku memulakan tahun 2013 dengan buku FIXI yang pertama iaitu CERPEN. Maaf, aku masih lagi belum baca MANGSA dan MENTAL (oh, dan ISTERI juga tertangguh entah di bab mana sebenarnya).

Harus aku tegaskan di sini, aku akui antara kebanyakan penulis FIXI yang lain, vocabulary KNB adalah antara yang paling luas. Dalam naskah PECAH yang kubeli dulu pun banyak benar perkataan Bahasa Melayu yang baru pertama kali aku temui digunakan oleh beliau. Ah, aku dengar beliau sendiri seorang pembahas tersohor dan nama beliau meniti di bibir-bibir alumni UiTM. Makanya tidak hairanlah kalau beliau punya kosa kata paras tinggi (pada hemat akulah). Banyak kali juga aku hentikan bacaan dan layari  laman sesawang PRPM semata-mata mahu mencari maksud beberapa perkataan yang ditemui. =P

Apa yang pasti, KNB ternyata seakan tidak terlepas daripada memutar kisah-kisah dengan rencam kepolisian, jenayah, orang gila (?) dan juga ada cubaan beliau berjenaka dalam sinikal yang tajam.

Jika ditanya kispen yang mana satu menjadi kegemaran, amat sukar untuk aku jawab kerana setiap satunya punya kekuatan yang tersendiri. Ada beberapa kispen yang aku kira amat sesuai kalau dikembangkan untuk mendasari plot sebuah novel yang bagus. Itu aku berani jamin. Ulasan kali ini tidak satu persatu seperti ulasan Cerpen Nadia Khan kerana aku rasa agak sukar untuk membuat ulasan satu-satu kispen kerana khuatir ia akan meleret-leret panjang (dan semestinya pembaca blog ini akan bosan?). Ada dua-tiga daripada kispen yang tersiar sebenarnya sudah pernah aku baca di tempat lain sebelum ini, makanya aku langkau saja dan baca mana yang aku belum baca.

Yang pastinya aku setuju dengan Zara. Kispen 'Hanya Sepuluh' yang menutup kompilasi ini harus diulangbaca dan aku yakin benar akan ada yang menyentuh sanubari sang pembaca. Bagi mereka yang tidak putus-putus menjengah ke blog Salah Taip rasanya pasti akan berasa sensasi deja vu kerana ada yang pernah termuat di situ. Kispen ini mempamerkan kehandalan penulis dalam menyusun ayat-ayat, eh, perkataan-perkataan yang hanya terdiri daripada sepuluh, ya, SEPULUH patah perkataan sahaja untuk menjadi sebuah kispen yang bermakna. Semacam #CerpenTwitter pun ada juga, cuma aku rasa ini jauh lebih sukar dan puitis. Ada yang dibaca hampir seperti haiku, ada monolog dan ada tempelak kepada tajuk akhbar atau berita semasa yang berlaku. Ternyata beliau seorang pemerhati, pentafsir dan penulis yang handal.

Salutasi dan sekalung syabas buat Khairul Nizam Bakeri. Aku tak sabar mahu tonton filem Pecah nanti. Insya-Allah, kalau masih bernyawa.

Nah. Ulasan (rasanya) paling pendek dalam siri ulasan buku di blog ini.

Selamat malam/pagi dunia.

Assalamualaikum.

Selasa, 8 Januari 2013

320: kau.


Kadang-kadang aku sendiri tidak tahu kenapa sehingga kini kau masih lagi melakukan yang mustahil buatku. Sesungguhnya aku amat tidak mengerti kesungguhan yang terbenam jauh di pangkal hatimu kerana sudah banyak kali aku mohon kau perjelaskan tapi kau hanya toleh ke kanan seraya tersenyum sedikit sebelum angguk dan kecup diri ini. Alangkah bertuahnya si dia untuk mendapatkan kau. Alangkah malangnya aku untuk tidak lagi bersama kau. Tetapi alangkah beruntungnya aku untuk masih lagi menyisakan kau sebagai sahabat paling ampuh yang boleh aku sandar, peluk, kecup, keluh, tampar, cubit, tangis, tawa, segan dan takut. Kau mustahil untuk aku gantikan walau beribu serpih lain datang bersilih. Kau tetap yang unggul. Kau yang bernama

Iz.

Isnin, 7 Januari 2013

319: written on the stars.

Assalamualaikum.
Tahniah Yuna.
Lirik: sempurna. Melodi: indah. Lunak: tak terhingga.
Semoga namamu terus terukir di bintang.

=)

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015