Isnin, 31 Disember 2012

318: terima kasih dua ribu dua belas.

terima kasih dua ribu dua belas.aku belajar bukan senang hendak senang.aku belajar yang semua sakit itu ada ubatnya.aku belajar tidak semua hitam itu hitam.aku belajar bukan semua putih itu putih.aku belajar jatuh dan terluka.aku belajar kasih dan sayang itu perit.aku belajar wang boleh dicari.aku belajar diam lebih baik dari omongan gombal.aku belajar yang sebenarnya aku kuat.aku belajar yang masa itu bukan emas.aku belajar buka baju.aku belajar tanggalkan seluar.aku belajar pakai kain.aku belajar yang Tuhan ada satu saja.aku belajar berdiri juga melenguhkan.aku belajar duduk.aku belajar baring.aku belajar untuk bersedia untuk mati.

Sabtu, 29 Disember 2012

317: hias.

Jadinya kau putuskan untuk bertemu
Haruskah kubersetuju?
Kufikir kau okay
Gadis di rangkulanmu, apakah dia tahu datangnya kau?

Hampir bikinku pindah keluar kota
Kau tak mahu ku di sini
Tapi aku liat
Sengaja

Cari sebab untuk membencimu lebih dari dulu
Kau janji untuk telefon
Tapi tak pernah pun
Hapuskan saja nombormu yang kumasih hafal

Barang-barangmu di kamarku
Sepertinya kupunya ruang besar
Kerana kau tahu aku tak kisah
Pulanglah bila kau rasa perlu

Kurasa hitam dan putih di dalam
Tanpa daya dari kiri ke kanan
Aku hias kamarku dengan barang kesukaanmu
Berharap kau muncul lagi

Jadinya kau putuskan untuk bertemu
Haruskah kubersetuju?
Kau sering saja begini
Datang dan pergi sesuka hati macam aku ini sampah

Tiap kali kau pulang kepadaku
Aku bersedia untuk pisah
Baik kau putuskan akalmu lekas
Tentang diriku

Aku bayangkan bagaimana
Bagaimana jika kau tinggalkan segala dan pulang semula?
Tapi aku tahu kau bakal tidak
Selepas apa yang aku lalui aku masih risaukan kau

Kau putuskan semua rakan kau
Ini pastinya yang terakhir
Tapi kau tahu aku tidak kisah
Pulanglah bila kau rasa perlu

Berharap kau muncul lagi
Berharap kau muncul lagi

(diterjemahkan daripada 'Decorate' nyanyian Yunalis Zarai)

Rabu, 12 Disember 2012

Jumaat, 7 Disember 2012

315: [siri ulasan buku] #27 - langit vanilla karya wani ardy.

Jujur sebenarnya aku tidak begitu mengenali wanita bernama Wani Ardy ini. Aku tahu dia seorang pemuisi, penyajak, penyair, pensyarah, perempuan, sebab aku pernah tengok dia beraksi secara langsung di beberapa pentas yang aku sendiri sudah ingat-ingat lupa (oh, maafkan aku kerana 'kemudaan' aku ingatanku kian merosot!). Kali terakhir aku pernah melihat dia adalah di KLPAC pertengahan tahun lepas. Itupun ada kenalanku yang tunding jari dan cakap, "Itulah Wani Ardy yang famous tu!" dan aku hanya jungkit bahu dan senyum. Sungguh.

Gambar diambil dari fenpej rasmi Langit Vanilla.
Aku dapat tahu yang dia ada terbitkan sebuah buku, pembetulan, sebuah himpunan puisi, prosa dan catatan peribadi di bawah terbitan Sang Freud Press yang dulunya indie, obskur dan habis hip kalau kau keluarkan naskah karya terbitan mereka dan baca dalam koc tren, tetapi tidak lagi kini sebab sudah ramai yang tahu tentang SFP. Eh.

Apa-apapun, kalau bukan ada kenalanku yang mulanya pesan padaku untuk belikannya Langit Vanilla ini (tetapi lepas itu hubungi aku lewat twitter cakap tak mahu sebab sudah beli di tempat lain, fakyew demmit!) sebetulnya aku tidak terpanggil langsung untuk angkat dan baca buku setebal 173 halaman yang berkulit belon-belon kuning mengugut mahu terbang dan dua kelibat susuk manusia tidak pasti jantina apa.

Baiklah. Memandangkan kalau kau gugel Langit Vanilla pun sudah banyak blogger lain yang buat ulasan atau setidaknya mensi tentang buku kecil ini, rasanya tak perlulah aku menceceh tak tentu pasal sehingga kau rasa hendak tutup saja blog ini.

Heh. 

Dalam satu perkataan, Langit Vanilla boleh disimpulkan sebagai jujur. Walaupun kau mungkin tidak pernah duduk semeja berkongsi dua cangkir kopi dan bertukar-tukar kata dengannya, membaca buku ini seakan sudah cukup untuk buat kau sekurang-kurangnya seperti tahu sedikit cuplikan tentang perempuan bernama Wani Ardy. Perempuan tabah yang kecundangan dek cinta, kehilangan orang tersayang, kerinduan orang jauh, kemarahan dan kemurungan dek gelodak perasaan sendiri, semuanya dibukukan dalam buku bersaiz kecil yang kau boleh sumbat dalam clutch kau dan keluarkan untuk ulangbaca sambil tunggu kawan-kawan bimbo kau usai shopping.

Aku jenis yang susah cerna sajak/puisi/syair, jadinya himpunan dalam Langit Vanilla ini hakikatnya agak sukar untuk aku betul-betul fahamkan. Kalau aku cuba pun, aku rasa maksud sebenar sajak/puisi/syair di dalamnya sama ada a) tidak sampai betul pada aku, b) flat out salah terus atau c) bukan untuk aku. Tapi hakikatnya kalau kau dapat tahu yang buku kecil ini sudahpun masuk cetakan ketiga, makanya sama ada a) tulisan perempuan ini sedap, b) ramai betul hijabster dan hipster yang minat perempuan ini atau c) kedua-dua faktor tadi digaul sebati. Seorang kenalanku pula beritahu sebenarnya Langit Vanilla ini tidak lebih daripada kompilasi yang telahpun pernah terbit di blog peribadi Wani Ardy.

Makanya, what's so special about this book?
Jawapan aku: entah.

Yang pasti, kau selaklah helaian manapun, kalau ia jatuh pada satu puisi dan kau baca (atau ulangbaca), secara bawah sedar kau akan terpanggil untuk mengasosiasikan diri kau dengan apa yang berlaku ke atas kau. Yes, buku kecil ini mampu membuat kau rasa fefeeling macam berada dalam mimpi di dalam mimpi. Mungkin disebabkan aku jenis yang tidak pandai berpuisi, jadinya aku kagum dengan orang yang mampu untuk melampiaskan kata-kata berperasaan tahap dalam walaupun hanya dalam dua-tiga baris ayat tercantas indah.

Paling aku suka (bagi yang sudah ada naskah buku ini), mohon belek ke halaman 102.

Aku seperti mahu mencarut sebab terkena atas batang hidung sendiri, tetapi sudahnya aku senyum seorang diri.

314: EKSKLUSIF! bab tunggal draf manuskrip BISIK yang sebenarnya.

Ini merupakan bab tunggal yang aku tulis suka-suka pada 28 Oktober 2008 sebelum aku abaikan harapan untuk menyambungnya gara-gara a) tidak yakinaku boleh siap hasilkan sebuah manuskrip, b) ada penerbit yang terpanggil untuk terbitkan dan c) baru hendak menyesuaikan diri di UKM.

Pada ketika itu bab tunggal ini tidak berjudul, hanya watak seorang lelaki kurus (yang mungkin juga seorang hipster) bernama Mikael berlegar di benakku. Sempat juga aku usahakan sehingga terhasilnya manuskrip sebuah novella berjudul 'Teman Sebilik Diperlukan'. Rasanya kalau ada yang pernah ikuti blog lama aku (telah lama tiada sebab sudah dihack, sial betul!) mungkin pernah baca.

Aku terpanggil untuk baca kembali novella itu sekitar Mei 2011, itupun didorong oleh suatu perasaan berkobar-kobar untuk merealisasikan impian aku menjadi seorang novelis (gittew?). Enam minggu kemudian, terhasillah BISIK seperti apa yang kebanyakan kalian penggemar novel FIXI telahpun baca.

Terima kasih yang tidak terhingga aku ucapkan. Apa yang pasti, sebenarnya, aku agak cuak campur gelisah dalam menyiapkan manuskrip berikutnya kerana risau ia tidak mampu menandingi aura yang telah dilampiaskan oleh BISIK (aceeewah!).

=)

****************************************

Nama aku Mikael Roslant.

Bulan sembilan depan genap umur aku 26 tahun. Aku bekerja sebagai jurugambar sambilan untuk sebuah majalan terbitan tempatan. Aku bukannya hendak jadi jurugambar tetapi entah kenapa secara tidak sengaja aku menjadi seorang jurugambar. Memang hobi aku suka tangkap gambar sejak dari sekolah menengah lagi. Tidak pernah pula terfikir hobi aku sekadar suka-suka ini boleh menjadi sebuah profesion kepadaku.

Sebenarnya, aku teringin menjadi penulis bebas. Dapat menerima gaji dengan hanya menulis dan membenarkan orang lain membaca hasil nukilan aku adalah sesuatu yang amat aku idam-idamkan. Tetapi nampaknya impian aku itu hanya akan tinggal angan-angan sahaja. Tak mengapalah. Tinggal di kota besar ini lebih baik lakukan apa saja yang boleh membuat kocek terisi daripada terus-terusan mengejar cita-cita tetapi cukup bulan hanya mampu telan mi segera.

Aku pandang ke sekeliling, terperangkap di tengah-tengah dinding empat keping, sebuah tingkap dan sebuah pintu. Bilik ini lebih kecil daripada bilik lama aku tetapi aku tidak kisah. Ada sebuah katil bujang, sebuah meja tulis menghadap tingkap dan juga sebuah rak kasut di sebelah pintu. Memandangkan aku hanya tinggal seorang diri, ruang bukanlah suatu perkara yang penting. Tambahan pula aku jarang berada di rumah. Bilik ini hanya sekadar tempat untuk melabuhkan tubuh untuk tidur, mandi dan bersiap-siap ke tempat kerja. Itu sahaja.


Kalau hendak diikutkan hati, aku tidak mahu pindah. Rumah lama aku itu jauh lebih selesa. Ruang yang lebih besar, dan teman sekamarku juga baik-baik belaka. Namun, setelah berlakunya sedikit selisih faham dengan seorang ahli rumah itu, aku terus tarik muka masam dan angkat kaki. Gara-gara itu, aku sanggup menaiki tren dua kali sebelum sampai tempat kerja. Sebelum ini, jarak antara aku dengan tempat kerja hanya dipisahkan oleh seblok bangunan pejabat dan sebuah tasik. Kini aku harus bangun setengah jam lebih awal jika tidak mahu lewat ke tempat kerja.

Jika ditanya tentang perasaanku, sesungguhnya aku gembira tinggal sendirian di sini. Bilik ini mempunyai pemandangan kota, dan setiap lima belas minit berselang aku dapat lihat tren melintas membelah kesibukan trafik di bawahnya. Sedikit bising dan aku harus lebih rajin menyapu tetapi aku tidak kisah itu semua.

Sudah dua minggu aku berpindah ke sini tetapi hairannya aku tidak pernah bersua muka dengan tuan rumah pangsapuri ini. Kunci rumah dan kunci bilik itu pun ditinggalkan di dalam peti surat di tingkat bawah setelah aku menerima arahan daripada tuan rumah lewat panggilan telefon. Bagaimana aku bertemu dengan iklan yang menyatakan kekosongan bilik ini pun suatu yang tidak disengajakan. Ketika itu aku singgah sebentar ke sebuah stesen minyak untuk mengambil wang dari mesin ATM dan membeli sebotol susu segar, terlihat pula secebis kertas tertera nombor telefon terlekat pada atas kaunter bersebelahan dengan mesin kasir. Aku segera bertanya kepada budak yang menjaga mesin kasir itu dan dia menjawab menyatakan ada seorang lelaki berbangsa Cina hendak menyewakan salah satu bilik pangsapurinya. Setelah menghubungi lelaki tersebut aku terus bersetuju tanpa melihat bilik itu terlebih dahulu kerana bayaran sewa yang dikenakan tersangatlah murah daripada apa yang aku sangkakan.

Tuan rumah aku yang bernama Encik Wong itu mendiami bilik bertentangan dengan bilikku. Aku berasa hairan kerana sebaik sahaja aku berpindak masuk, nombor telefon bimbit Encik Wong itu tidak lagi aktif. Sudah berkali-kali aku cuba untuk mendail namun tetap gagal. Tambah menghairankan, sudah tinggal serumah pun aku tidak pernah bersua muka dengan Encik Wong. Dia ada ketika aku tiada di rumah, dan dia tiada ketika aku ada di rumah. Satu-satunya cara aku berkomunikasi dengan Encik Wong adalah dengan cara meninggalkan pesan secara bertulis yang diselitkan di bawah pintu biliknya atau ditinggalkan pada peti sejuk. Contohnya jika aku ada membeli sekartun minuman bergas dan tidak kisah jika dia hendak meminumnya, aku akan meninggalkan pesan pada peti sejuk dan beberapa hari berselang aku akan lihat jumlah minuman itu telahpun susut. Begitu juga jika dia ada membeli barang dapur, memenuhkan stok pada almari dan peti sejuk, dia akan memberitahuku barang yang telah dibelinya dan juga kuantitinya.

Bil elektrik dan air dibahagi sama rata antara kami walaupun aku akui menggunakan elektrik lebih banyak daripada dia (oleh kerana komputer riba dan penggunaan internet yang tidak pernah putus-putus daripada bilikku), Encik Wong tidak kisah. Pernah sekali aku pulang awal daripada tempat kerja dan aku menyedari kasutnya ada di pintu hadapan. Aku masuk dan terdengar ada suara-suara dari bilik Encik Wong. Demi untuk kelihatan jujur, aku mengetuk pintu biliknya dan mengajaknya keluar makan malam bersama. Senyap. Tidak lama kemudian terjulur keluar sekeping kertas dari bawah pintu biliknya yang bertulis: “Pergilah makan. Uncle tak lapar.”

Aku ada menyuarakan tentang keanehan tuan rumahku kepada Alya, teman sepejabatku tetapi dia hanya mentertawakanku. “Mungkin tuan rumah kau tu sakit jiwa kot. Baik kau hati-hati.” Ujarnya ketika aku minum petang bersamanya di Starbucks Sabtu lepas. Aku merapatkan mataku dan mencebikkan bibir, tanda memprotes kata-kata wanita andalusia yang duduk di hadapanku ini.

“Aku seriuslah, Al. Lantaklah apa kau nak kata, setakat ni aku dengan Encik Wong tu tak ada masalah. Kami okay aje. Cuma aku rasa peliklah duduk serumah dengan dia tapi tak pernah berjumpa empat mata.”

“Aku faham. Mungkin dah memang style tuan rumah kau macam tu. Terima ajelah. Asalkan dia tak ganggu prifasi kau dah cukup bagus.” Balas Alya dengan mulut yang penuh mufin.

“Harap-harap begitulah.” Ujarku.

Saban hari dari Isnin hingga Jumaat aku akan berangkat ke tempat kerja sekitar jam tujuh pagi. Kadang-kadang aku akan pulang awal, seawal jam tiga petang jika tiada kerja di pejabat atau tiada tugasan luar namun kebiasaannya aku akan pulang tidak lewat daripada jam lapan malam. Encik Wong pula sukar untuk diramal. Kadang-kadang dia akan pulang awal. Kadang-kadang dia tidak akan pulang berhari-hari lamanya. Kadang-kadang dia pulang bersendiri, kadang-kadang berteman.

Temannya itu juga seperti dia. Tidak pernah kulihat wajahnya. Apa yang pasti aku tahu temannya itu seorang wanita kerana suatu petang aku terlihat sejumlah pakaian wanita ditinggalkan dalam mesin basuh. Sekeping nota mengarahkan aku agar tidak mengusiknya tertinggal di atas mesin basuh itu.

Hari ini aku pulang sedikit lewat. Singgah sebentar di kedai runcit di bawah pangsapuri membeli roti, tuna dalam tin dan sebotol minuman bergas – makan malam merangkap makan tengah hari untuk hari ini. Aku tidak sempat untuk keluar makan tadi. Sepanjang hari aku terkejar-kejar ke KLIA, mencuba untuk mendapatkan beberapa gambar ketibaan artis baru pemenang rancangan realiti yang terbaru itu. Pulang ke pejabat dari KLIA, dimaki oleh ketua jabatan pula, gara-gara kegagalan aku untuk mendapatkan temujanji untuk satu sesi fotografi bersama satu lagi kumpulan muzik dari Indonesia. Oleh kerana itu, majalah kerugian besar kerana aku tidak berada di lokasi. Tetapi jika difikirkan logiknya bagaimana aku hendak berada di dua tempat pada satu masa yang sama?

Aku segera mengunci diri di dalam kamar. Baju dan seluar kutanggalkan, dan aku hanya bercelana dalam. Aku baring di atas katil. Badan terasa penat benar tetapi otakku sedang ligat berfikir seribu satu persoalan. Aku toleh ke arah roti dan tuna dalam tin di atas meja. Perutku terasa lapar namun aku tidak berselera untuk makan. Pada ketika inilah aku mengandaikan indahnya jika aku mempunyai pacar. Tentunya gadis itu akan menjaga makan minumku dan mengambil berat tentang kesihatanku. Malangnya, siapalah yang sudi bertemankan lelaki yang serba kekurangan sepertiku ini?

313: terima kasih.

Ya!
Terkadang dua patah kata habis ringkas ini amat mudah untuk kau lupa
Tuturkan
Akui
Perasan
Yang dua patah kata habis ringkas ini jugalah yang membelah
Hati-hati
Jiwa-jiwa
Perasan-perasaan
Masa-masa
Dan segala apa yang aku telah aku sia-siakan
Untuk kau

B
a
n
g
s
a
t
!

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015