Ahad, 27 Mei 2012

244: keluar date dengan orang baru tak kurang 24 jam selepas kau break dengan orang lama, cool atau tidak?

Aku punya seorang kenalan. Biarlah aku kenalkan dia sebagai Mahmud untuk melindungi identiti sebenar dia kerana aku yakin benar dia juga rajin baca blog ini kalau dia kelapangan. Oh, maaflah kerana kebelakangan ini aku jarang kemaskini, sibuk sikit. Lagipun praktikal aku di Melaka masih bersisa 6 minggu dan aku punya banyak hal yang harus aku bereskan segera kalau aku mahu bergraduasi pada tahun ini. Ya, mudah-mudahan...

Anyways, hendak dijadikan cerita kenalanku si Mahmud ini punya seorang kekasih. Mari kita namakan dia Sofea (juga bukan nama sebenar walaupun aku agak yakin dia tidak baca blog aku). Aku dan teman-teman lain sudah sedia maklum yang Mahmud dan Sofea bercinta dan tahap keseriusan mereka agak tinggi sehingga kami mula membuat spekulasi yang kad harum berupa undangan ke majlis perkahwinan mereka sememangnya tidak mustahil. Mereka berkenalan dan bercinta selama hampir setengah tahun lamanya.

BUKAN lokasi yang dimaksudkan oleh penulis.
Baru-baru ini aku dihubungi Mahmud, katanya dia mahu minum petang bersamaku. Suatu kemujuran ketika itu aku berada di KL (ada hal di PBAKL) dan aku pantas bersetuju dan meminta dia datang ke Starbucks dekat dengan lokasi aku berada. Dia pula lekas bersetuju kerana katanya elok benarlah lokasi tersebut. Tanpa fikir panjang kami berdua bersetuju untuk bertemu. Sekitar sejam selepas itu kami akhirnya bertemu empat mata dan duduk menghadap kopi terlebih harga di kafe francais berlogo mermaid hijau itu.

Isnin, 14 Mei 2012

243: [siri ulasan buku] #17 - licik karya sham hashim & julie anne.


Novel duet pertama terbitan FIXI yang bertajuk LICIK ini merupakan gabungan duo Sham Hashim dan Julie Anne. Jangan tertipu dengan ilustrasi kulit depan novel ini, tiada babak di mana wataknya bertopeng dan menghadiri parti masquerade seperti apa yang aku harapkan. Sedikit kecewa di situ. Apa-apapun, ada kisah menarik di sebalik pembikinan novel ini. Menurut Julie Anne (yang amat ramah dan kelakar ketika beliau ditemui di PBAKL tempoh hari), beliau sendiri seperti tidak mahu percaya yang  beliau akan terlibat dalam pembikinan novel ini. Menurut Julie lagi, LICIK sebenarnya hampir mungkin tidak akan diterbitkan kerana penulis asalnya Sham Hashim dikatakan terlalu sibuk untuk menyiapkan manuskrip tersebut. Projek ini terbengkalai untuk suatu masa yang panjang sehinggalah tauke FIXI, Amir Muhammad mengeluarkan tawaran kepada sesiapa yang mahu ambil draf-draf yang telah ditinggalkan oleh Sham Hashim untuk disiapkan menjadi sebuah manuskrip. Long story short, Julie mendapat tanggungjawab tersebut dan dengan pantas LICIK berjaya disiapkan.

Khamis, 10 Mei 2012

242: [siri ulasan buku] #16 - dosa karya nuril basri.


Aku sebenarnya kagum dengan kegigihan penulis novel DOSA ini iaitu Nuril Basri sepanjang beliau menghasilkan manuskrip novel ini. Hampir setahun dihabiskan oleh Nuril dalam membuat kajian untuk mempersiapkan diri untuk menulis sebuah penceritaan tentang persahabatan yang dipaparkan dalam novel tersebut. Menurut Nurul, beliau berjaya memperoleh akses ke sebuah sekolah pondok di Indonesia, menjalani hidup sebagai para santri (pelajar sekolah pondok) dan juga berpeluang menelurusi kehidupan sisi gelap lorong-lorong hitam yang menempatkan kelab-kelab gay dan tempat di mana banyak PSK (Pekerja Seks Komersial) bersidai.

DOSA dimulakan dengan pembaca diperkenalkan oleh Ricky, seorang pemuda yang masih menuntut di sekolah menengah yang merasakan dirinya sebagai seorang yang terasing dan dipinggirkan oleh keluarganya sendiri. Lantaran itu, Ricky membuat keputusan untuk meninggalkan rumah keluarganya dan menetap di sebuah sekolah pondok di kampung yang berlainan. Di situ dia diperkenalkan dengan Yusuf, adik kepada Bang Ali dan persahabatan mereka mulai terjalin dan berpintal-pintal menuju ke arah yang mengelirukan.

Rabu, 9 Mei 2012

241: [siri ulasan buku] #15 - mautopia karya ridhwan saidi.


Rasa-rasanya pembaca karya Ridhwan Saidi yang terdahulu sudah sedia maklum bahawa penulis berbakat besar ini memang tidak asing lagi dengan cubaan beliau menyatukan objek-objek tertentu sebagai simbol yang membawa maksud yang amat asing dan bertentangan. Mautopia, novel ketiga Ridhwan Saidi selepas Cekik dan Amerika bukanlah suatu bacaan yang mudah. Terus-terang, dari kaca mata bacaan linear mungkin sekali pembaca akan fikir yang Ridhwan Saidi berkemungkinan seorang yang terlalu imaginatif ataupun seorang yang gila-gila.

Namun begitu, harus dijelaskan bahawa Mautopia merupakan sebuah novel pengembaraan distopik yang mengupas isu cinta terlarang dan konsep kepercayaan kepada Tuhan (ini menurut pandangan saya) yang dipersembahkan melalui deskripsi-deskripsi metafora yang mengelirukan. Kalau dalam novel Amerika pembaca akan disajikan dengan lipas besar, debat tentang hidup di hadapan laut dan sup brokoli; dalam novel Mautopia pula anda akan berkenalan dengan kek cawan berperisa paku dan kaca, ikan pari masak asam pedas, sut manusoid, kerengga gergasi dan rumah modular.

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2016

#NaNoWriMo2015

#NaNoWriMo2015