046: [siri ulasan filem] #03 - seru.

Menonton filem ‘Seru’ arahan duo Pierre Andre dan Ming Jin akan membuat anda acapkali berkata; “Eh, macam filem ‘Quarantine’ dan ‘Blair Witch Project’ lah!”. Sesungguhnya penulis tidak menafikan ‘Seru’ banyak membuat rujukan kepada kedua-dua filem Barat ini. Buat pertama kalinya filem saspens seram dengan menggunakan teknik ‘found footage’ mula mengambil tempat di persada industi perfileman tempatan.


‘Seru’ bermula dengan sekumpulan krew penggambaran filem yang sedang menjalani penggambaran di sebuah hutan pencil. Pierre Andre membuat kameo di awal filem sebagai salah seorang ‘pelakon’ yang sedang menjalani penggambaran di situ. Keadaan mula menjadi keruh dan tidak keruan apabila dua daripada krew filem tersebut dirasuk oleh suatu kuasa halus. Maka bermulalah adegan saspens dan mencurigakan apabila keadaan individu yang dirasuk itu tidak pulih dan bermacam-macam kejadian aneh menimpa krew filem yang tinggal.

Filem ini bijak mengimbangkan penceritaan yang mudah dan plot linear yang mudah diikut oleh penonton dengan kejutan dan elemen seram dan saspens yang konstan sepanjang filem ini. Plotnya digarap dengan kemas dan berentak laju, menjadikannya tidak bosan dan bijak. Kesan khas dan audio juga amat teliti dan berketepadan dengan nuansa cemas yang dipaparkan. Ada banyak babak-babak di sepanjang filem ini yang mampu membuat anda memaut erat pemegang tempat duduk atau peluk kaki dan berpaling ke arah lain kerana tidak sanggup untuk melihat adegan ngeri dan ganas yang ada. Ada juga babak-babak di dalam filem ini yang anda akan rasa terlalu mirip kepada filem-filem seram Korea atau Jepun namun oleh kerana perspektif yang ditampilkan adalah daripada pandangan si pemikul kamera itu sendiri, membuatkan seolah-olah anda yang mengalaminya, membuatkan menonton babak itu suatu pengalaman seram yang anda akan ingat walaupun anda sudah menontonya tiga hari yang lepas. Pierre Andre dan Ming Jin juga berani kerana menampilkan muka-muka baru di dalam filem ini. Satu-satunya wajah yang dikenali penulis adalah Shaarnaz Ahmad, itupun hanya kerana penulis pernah melihat dia berlakon dalam drama bersiri ‘Dottie’ suatu ketika dahulu.

Walaubagaimana pun, seperti yang telah diterangkan tadi, penulis berpendapat bahawa duo pengarah filem ini seakan terlalu bergantung-rujuk kepada filem-filem berteknik serupa seperti ‘Cloverfield’, ‘Quarantine’ dan ‘Blair Witch Project’. Adegan lari-lari dalam semak dengan sudut kamera bergoyang-goyang di paras kaki, bermonolog dekat benar dengan lensa kamera dan bertukar-tukar tetapan pada kamera (padam/hidup lampu, tetapan night-vision) seakan terlalu mirip seperti filem-filem yang disebut tadi. Ada beberapa bahagian yang jika diteliti semula agak tidak masuk akal dan cuai. Antaranya:

Bolehkah anda menolak kereta dengan sebelah tangan sambil memegang kamera pada tangan kanan, dan melakukan kedua-dua aktiviti itu serentak dengan selesa?

Bayangkan leher anda dijerut dan anda ditarik ke atas, adalah anda masih lagi mampu memegang kamera dengan baik dan menghalakan fokusnya ke bawah sedangkan secara logiknya pasti anda akan (mungkin) melepaskan kamera tersebut dan mencuba untuk meloloskan diri daripada jerutan tersebut.

Namun begitu, ‘Seru’ merupakan percubaan berani dalam kategori filem seram tempatan. Penggemar filem seram semestinya wajib menonton filem ini dan nilaikan sendiri hasilnya. 

Ulasan

Mr.R berkata…
Ulasan yang bernas.
shandye. berkata…
@Mr. R: terima kasih banyak-banyak.